Rodri beri ‘lampu hijau’ rundingan Barcelona dengan Man City

Rodri merangkul anugerah Bola Emas selepas mengetuai Sepanyol menjulang kejuaraan Piala Dunia FIFA 2026 – Foto AFP

MADRID, 7 Ogos – Ayam tambatan pasukan Sepanyol, Rodri, telah memberi kebenaran kepada Barcelona untuk memulakan rundingan dengan Manchester City berhubung potensi perpindahan pemain itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rodri memberi kebenaran kepada Barcelona untuk memulakan rundingan dengan Manchester City mengenai perpindahan.
  • Persetujuan pemain tidak menjamin perpindahan; keputusan akhir bergantung kepada rundingan antara kelab.
  • Pengendali Hansi Flick dikatakan menghubungi Rodri, meminta kelab mendapatkan pertahanan atau pemain tengah berpengalaman.
  • Manchester City bersedia melepaskan Rodri sekitar €60 juta, memandangkan kontraknya tinggal satu tahun.

“Barcelona semakin hampir untuk mempertimbangkan soal perpindahan. Kami sudah mendapatkan persetujuan pemain untuk membuka rundingan dengan Manchester City,” kata sumber juara La Liga itu, sekali gus mengesahkan laporan media Sepanyol.

Rodri, yang menjadi tonggak utama di bahagian tengah Manchester City dan skuad La Roja, kini membuka ruang untuk Barcelona berbincang dengan kelab Liga Perdana Inggeris itu mengenai kemungkinan membawa pulang pemain tersebut ke Sepanyol.

Usaha Barcelona mendapatkan Rodri dilihat bakal menggagalkan minat seteru tradisi mereka, Real Madrid yang dilaporkan turut mengintai khidmat pemain tengah berusia 30 tahun itu ketika gergasi Sepanyol berkenaan mahu memperkuatkan bahagian tengah bawah kendalian pengurus baharu, Jose Mourinho.

Bagaimanapun, persetujuan Rodri untuk membuka rundingan masih tidak menjamin perpindahan pemain itu ke Barcelona, menurut sumber kelab berkenaan.

Media Catalonia melaporkan Rodri diyakinkan menerusi panggilan telefon daripada pengendali Barca, Hansi Flick, yang dikatakan meminta pihak pengurusan kelab mendapatkan seorang pertahanan atau pemain tengah berpengalaman.

Bahagian pertahanan dikenal pasti sebagai antara kelemahan Barcelona, manakala kecederaan serius di bahagian lutut dijangka menyebabkan kapten pasukan, Frenkie de Jong diketepikan untuk tempoh beberapa bulan.

Rodri merangkul anugerah Bola Emas sebagai pemain terbaik selepas mengetuai Sepanyol menjulang kejuaraan Piala Dunia FIFA kedua mereka dalam edisi yang berlangsung di Amerika Utara, tahun ini.

Pemenang Ballon d’Or 2024 itu mengumpul pelbagai trofi ketika bersama Manchester City bawah kendalian Pep Guardiola, termasuk empat kejuaraan Liga Perdana Inggeris serta Liga Juara Eropah 2023, selepas menjaringkan gol kemenangan menentang Inter Milan pada perlawanan akhir.

Bagaimanapun, City dilaporkan bersedia melepaskan bekas pemain Atletico Madrid itu dengan nilai kira-kira €60 juta euro (AS$69 juta), memandangkan kontraknya hanya berbaki setahun.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.