
KUALA LUMPUR, 8 Jun – Kejayaan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani, menamatkan penantian 18 tahun Malaysia untuk menjuarai acara beregu lelaki Terbuka Indonesia mendapat pujian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Perdana Menteri memuji pencapaian, menyifatkannya cerminan keupayaan, dedikasi dan kecemerlangan anak Malaysia.
- Presiden BAM Tengku Zafrul anggap kemenangan amat signifikan, menamatkan hampir dua dekad penantian dan diraih pada pentas Super 1000.
- Sze Fei dan Nur Izzuddin cipta sejarah sebagai beregu lelaki Malaysia pertama juarai Terbuka Indonesia sejak 2008, bangkit menewaskan tuan rumah di final.
Menerusi hantaran di media sosial, Datuk Seri Anwar menyifatkan kejayaan pasangan negara itu sebagai pencapaian membanggakan yang mencerminkan keupayaan rakyat Malaysia untuk bersaing dan cemerlang di pentas antarabangsa.
Menurut beliau, kejayaan diraih Sze Fei dan Nur Izzuddin bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah membuktikan dedikasi, komitmen serta kecemerlangan atlet Malaysia dalam bidang masing-masing.
“Kejayaan dan pencapaian membanggakan ini mencerminkan keupayaan, dedikasi dan kecemerlangan anak Malaysia dalam menerajui bidang masing-masing serta menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan pembangunan global.
“Tahniah,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menyifatkan kemenangan pasangan negara di Istora Senayan, Jakarta sebagai satu pencapaian amat signifikan memandangkan Malaysia terpaksa menunggu hampir dua dekad untuk kembali menjulang gelaran beregu lelaki Terbuka Indonesia.
Menurut beliau, kejayaan itu lebih bermakna kerana diraih dalam kejohanan bertaraf Super 1000, yang dianggap antara saingan paling mencabar dalam kalendar Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
“Kemenangan ini sangat signifikan. Bukan sahaja kerana ia hadir di pentas Super 1000, tetapi kerana Fei-Din berjaya menamatkan penantian 18 tahun Malaysia untuk gelaran beregu lelaki Terbuka Indonesia.
“Ini juga gelaran Super 1000 kedua mereka selepas kejayaan di Terbuka China 2024. Malaysia berbangga. Teruskan momentum ini,” katanya.
Semalam, pasangan ranking kelapan dunia itu mencipta sejarah apabila muncul beregu lelaki Malaysia pertama menjuarai Terbuka Indonesia sejak gandingan Zakry Abdul Latif dan Fairuzizuan Tazari melakukannya pada 2008.
Pada aksi akhir, Sze Fei-Nur Izzuddin bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum menewaskan pasangan tuan rumah, Raymond Indra dan Nikolaus Joaquin, 13-21, 21-18, 21-10.
Kejayaan tersebut turut melengkapkan rentetan prestasi cemerlang pasangan negara yang sebelum ini menjuarai Indonesia Masters serta muncul naib juara Malaysia Masters musim ini.