
SHAH ALAM, 18 Jun – Keupayaan perisikan, pengawasan dan peninjauan (ISR) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) khususnya dalam mengawasi Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) akan dipertingkatkan secara berfasa bagi mendepani cabaran geopolitik yang semakin dinamik di Laut China Selatan.
- TUDM mengakui tiga pesawat pengawasan maritim CN-235 masih tidak mencukupi untuk memantau keseluruhan ruang maritim negara.
- Telah menerima Pesawat Tanpa Pemandu MALE-UAS ANKA bagi fungsi pengawasan maritim dan ISR termasuk operasi pemantauan perairan.
- Perancangan fasa kedua melibatkan perolehan tiga lagi UAS ANKA dilengkapi keupayaan peperangan elektronik dan ISR.
- Penerimaan pesawat rondaan maritim P-72M dari Itali akan menambah jarak jangkauan dan sistem pengesan lebih berkesan.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, langkah strategik itu diambil bagi mengatasi kekangan aset sedia ada termasuk tiga pesawat pengawasan maritim (MSA) CN-235 yang diakui belum mencukupi untuk memantau keseluruhan ruang maritim negara yang luas.
“Secara terus terang, keupayaan sedia ada masih belum mencukupi. Sebab itu kita sedang melaksanakan usaha peningkatan keupayaan. Ketika ini, kita mempunyai tiga buah pesawat pengawasan maritim (MSA) CN-235.
“Namun, dengan hanya tiga buah pesawat untuk memantau keseluruhan ruang maritim negara, ia sememangnya tidak mencukupi. Alhamdulillah, kita juga telah menerima Pesawat Tanpa Pemandu Altitud Sederhana Ketahanan Lama (MALE-UAS) ANKA yang mampu melaksanakan fungsi pengawasan maritim serta ISR, termasuk menjalankan operasi pemantauan di kawasan perairan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM Ke-68 di sini hari ini.
Bagi memastikan kedaulatan Zon Maritim Malaysia (ZMM) terus terpelihara, TUDM kini sedang merancang perolehan fasa kedua membabitkan penambahan tiga lagi pesawat UAS ANKA yang dilengkapi keupayaan peperangan elektronik (EW) dan ISR.
Selain pengenalan UAV, aspek pemantauan ruang udara dan maritim negara bakal diperkukuh melalui penerimaan pesawat rondaan maritim (MPA) P-72M dari Itali yang memiliki jarak jangkauan lebih jauh serta sistem pengesan yang jauh lebih berkesan berbanding pesawat sedia ada.