Play- Off Piala Dunia: Hatrik Gyökeres hancurkan harapan Ukraine

Penyerang Sweden, Viktor Gyökeres / REUTERS

VALENCIA, 27 Mac – Sweden hanya selangkah untuk merebut tempat ke Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Ukraine 3-1 pada perlawanan Play-Off.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gyökeres buka jaringan minit ke-6 hasil hantaran lintang Benjamin Nygren.
  • Nordfeldt tunjuk aksi cemerlang menyukarkan Ukraine menembusi gawang.
  • Gyökeres gandakan pada minit ke-51, sempurnakan hatrik melalui penalti minit ke-71.
  • Matviy Ponomarenko sumbang gol sagu hati minit ke-90, Sweden akan berdepan Poland di Stockholm.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan pasukan berkenaan menentang Poland di Stockholm, Selasa ini.

Pada perlawanan tersebut, Sweden mendahului pada minit ke-6 menerusi rembatan Gyökeres hasil hantaran lintang Benjamin Nygren.

Pasukan Ukraine bimbingan Serhiy Rebrov dilihat sukar menembusi gawang Sweden, susulan tindakan cemerlang penjaga gol,Kristoffer Nordfeldt.

Sweden kemudiannya menggandakan jaringan pada minit ke-51 sekali lagi menerusi rembatan Gyökeres yang mengejutkan penjaga gol Ukraine, Anatoliy Trubin.

Gyökeres kemudiannya menyempurnakan hatriknya menerusi penalti pada minit ke-71 selepas dia dijatuhkan dalam kotak penalti oleh penjaga gol Ukraine.

Ukraine berjaya meraih gol sagu hati menerusi Matviy Ponomarenko pada minit ke-90. namun jaringan berkenaan tidak cukup untuk mengubah keputusan perlawanan. – REUTERS