Piala Dunia: Alisson yakin Brazil mampu bangkit

Penjaga gol Brazil, Alisson Becker/Foto AFP

MORRISTOWN, 12 Jun – Penjaga gol utama Brazil, Alisson Becker menyifatkan keraguan terhadap peluang skuad Selecao menjelang Piala Dunia 2026 sebagai satu perkara positif yang mampu menguatkan semangat pasukan untuk mencipta kejutan di pentas antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Brazil berlatih intensif di bawah Carlo Ancelotti, bersiap untuk perlawanan pembukaan Kumpulan C menentang Maghribi.
  • Skuad menunjukkan peningkatan dengan tiga kemenangan persahabatan terakhir termasuk 6-2 ke atas Panama dan 2-1 ke atas Mesir.
  • Pengalaman lampau tidak dijadikan tumpuan; fokus pada persediaan kini untuk menuntut gelaran dunia pertama sejak 2002.

Menurut Alisson, tekanan dan pandangan skeptikal terhadap Brazil bukan sesuatu yang asing, malah pernah berlaku pada edisi-edisi terdahulu yang akhirnya menyaksikan mereka bangkit sebagai juara dunia.

Katanya, Brazil pernah melalui situasi sama pada masa lalu dan berjaya membuktikan kemampuan mereka walaupun tidak dianggap pilihan utama kejohanan.

“Kami sedar ada keraguan terhadap pasukan ini, tetapi itu pernah berlaku sebelum ini dan ia boleh menjadi kekuatan kepada kami,” katanya ketika ditemui di kem latihan Brazil di New Jersey.

Brazil yang dibimbing oleh Carlo Ancelotti kini dalam fasa persiapan rapi menjelang aksi pertama Kumpulan C menentang Maghribi di Stadium MetLife, Sabtu ini.

Skuad berkenaan menamatkan kempen kelayakan di kedudukan kelima zon Amerika Selatan, selepas melalui kempen yang tidak konsisten termasuk pertukaran jurulatih sebelum ketibaan Ancelotti.

Namun, Brazil menunjukkan peningkatan prestasi apabila memenangi tiga aksi persahabatan terakhir termasuk kemenangan besar 6-2 ke atas Panama dan 2-1 ke atas Mesir.

Dalam perkembangan sama, Brazil yang pernah menjuarai Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat, masih memburu kejuaraan dunia pertama sejak kali terakhir muncul juara pada 2002.

Alisson, 33 tahun, yang akan beraksi dalam Piala Dunia ketiganya, menegaskan pengalaman lalu tidak perlu terus dikenang sebaliknya fokus perlu diberikan kepada cabaran semasa.

“Dalam bola sepak, kita tidak boleh terlalu lama melihat ke belakang. Apa yang penting adalah bagaimana kami bersedia sekarang,” katanya.

Brazil dijangka berdepan saingan sengit dalam Kumpulan C termasuk Maghribi, Haiti dan Scotland, dengan pertemuan menentang Maghribi dianggap antara perlawanan tumpuan peringkat kumpulan.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.