
KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Harimau Malaya perlu mempamerkan corak permainan lebih agresif bagi memburu kemenangan ke atas Filipina dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala ASEAN 2026 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, esok.
- Harus raih tiga mata penuh untuk memastikan peluang ke separuh akhir.
- Jangan memandang remeh Filipina walaupun tewas tipis kepada Thailand sebelum ini.
- Barisan kejurulatihan mesti sediakan perancangan taktikal, kejar gol awal untuk tingkatkan keyakinan.
- Sokongan padu penyokong dan stadium penuh menjadi suntikan motivasi sebagai 'pemain ke-12' untuk berjuang.
Pemerhati bola sepak tempatan, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, skuad kendalian Tan Cheng Hoe perlu mendapatkan tiga mata penuh bagi memastikan peluang melangkah ke peringkat separuh akhir.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan skuad negara supaya tidak memandang mudah cabaran Filipina yang sebelum ini hanya tewas tipis 0-1 kepada Thailand.
Katanya, barisan kejurulatihan perlu menyediakan perancangan taktikal terbaik bagi memastikan Harimau Malaya dapat menguasai permainan sejak wisel pertama dibunyikan, selain berusaha mendapatkan gol awal yang mampu meningkatkan keyakinan pemain.
“Kita mengharapkan jurulatih lebih peka dan mengetahui kemampuan anak buahnya untuk bermain lebih agresif serta memberi tekanan awal kepada pasukan lawan.
“Jika kita dapat menjaringkan gol pada awal permainan, ia akan memberikan kelebihan dari segi semangat dan keyakinan kepada pasukan untuk memenangi perlawanan ini,” katanya ketika dihubungi RTM, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Muzakkir turut menyeru penyokong Harimau Malaya supaya hadir beramai-ramai ke stadium bagi memberikan sokongan padu kepada skuad kebangsaan dalam perlawanan yang dianggap penting bagi menentukan nasib Malaysia dalam kejohanan berkenaan.
Menurutnya, kehadiran penyokong di stadium mampu menyuntik motivasi tambahan kepada pemain untuk berjuang habis-habisan, sekali gus membantu pasukan mencapai sasaran melangkah ke kelompok empat terbaik.
Difahamkan, kesemua tiket bagi penyokong tuan rumah untuk aksi berkenaan telah habis dijual, sekali gus menunjukkan Harimau Malaya bakal menerima sokongan padu daripada ‘pemain ke-12’.
Situasi itu membuktikan kesetiaan penyokong bola sepak negara dalam memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan, selain diharap dapat membakar semangat pemain untuk menampilkan persembahan terbaik dan mencatat kemenangan penting ke atas Filipina.