Norway gesa Infantino letak jawatan Presiden FIFA

Foto REUTERS

OSLO, 7 Ogos – Persatuan Bola Sepak Norway (NFF) akan menggesa Presiden FIFA, Gianni Infantino meletakkan jawatannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden NFF Lise Klaveness: Infantino tidak lagi mempunyai kepercayaan institusi untuk memimpin FIFA.
  • NFF merupakan antara badan paling lantang mengkritik Infantino sejak beberapa tahun lalu.
  • Infantino dijangka bertanding penggal keempat dan terakhir; kini satu-satunya calon yang mengisytiharkan hasrat.
  • Beliau berdepan tekanan selepas rancangan membuka pertandingan FIFA kepada pelabur swasta didedahkan dan dikritik hebat.

“Beliau tidak lagi mempunyai kepercayaan institusi yang diperlukan untuk memimpin FIFA secara stabil dalam keadaan semasa. Tiada jalan berpatah balik untuk Gianni Infantino,” tegas Presidennya, Lise Klaveness, kepada pemberita hari ini.

“Kami akan meminta Presiden FIFA supaya meletakkan jawatan sekarang,” katanya sehari selepas mesyuarat badan pentadbiran NFF yang antara lain membincangkan kedudukan ketua badan induk bola sepak dunia itu.

NFF merupakan antara badan yang paling lantang mengkritik Infantino sejak beberapa tahun lalu.

Infantino dijangka bertanding untuk penggal keempat dan terakhir pada pemilihan Presiden FIFA yang akan berlangsung pada Mac tahun depan.

Beliau memegang jawatan Presiden FIFA sejak 2016 dan ketika ini merupakan satu-satunya calon yang mengisytiharkan hasrat bertanding.

Untuk dipilih semula, Infantino perlu memperoleh sokongan majoriti daripada 211 ahli FIFA.

Calon yang berminat untuk bertanding perlu mengemukakan pencalonan masing-masing sebelum 18 November ini.

Peguam berketurunan Itali-Switzerland itu kini berdepan tekanan hebat susulan kegagalan rancangan beliau untuk membuka pertandingan FIFA, termasuk Piala Dunia sebagai acara kemuncak, kepada pelabur swasta.

Rancangan berkenaan didedahkan minggu lalu dan menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.