P. Pinang cari pemain untuk Piala Belia, Piala Presiden 2026

Gambar fail.

GEORGE TOWN, 26 Mac – Penang FC serta Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP)
akan menganjurkan sesi pemilihan pemain untuk mewakili negeri dalam Kejohanan Piala Belia dan Piala Presiden 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sesi pemilihan untuk pemain bawah 20 tahun di Padang USM A dan B pada 27 hingga 29 Mac, bermula jam 4.30 petang.
  • Kerjasama strategik antara Penang FC dan FAP untuk pengurusan serta pembangunan pasukan Piala Belia (B-18) dan Piala Presiden (B-20) musim 2026.
  • Penang FC menawarkan tiket percuma kepada warga emas 60 tahun ke atas dan penyokong lahir pada April untuk perlawanan MFL Challenge Cup 4 April.

Pemain bawah 20 tahun dari Pulau Pinang yang berminat boleh hadir bagi sesi pemilihan di Padang USM A dan B pada 27 hingga 29 Mac ini, bermula jam 4.30 petang.

Selain Penang FC dan FAP, pemilihan turut akan disertai barisan kepimpinan bola sepak negeri serta bekas pemain.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi berkata, langkah tersebut akan membuka peluang kepada pemain tempatan untuk menyarung jersi Harimau Kumbang.

“Penang FC dengan sukacitanya mengumumkan kerjasama strategik sulung bersama FAP bagi pengurusan dan pembangunan pasukan Piala Belia (Bawah 18 Tahun) dan Piala Presiden (Bawah 20 Tahun) untuk musim 2026.

“Langkah ini penting untuk memperkukuh ekosistem pembangunan bola sepak di Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, sebagai tanda penghargaan kepada penyokong, Penang FC akan memberikan tiket percuma kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas dan penyokong yang lahir pada bulan April bagi aksi akhir pusingan pertama MFL Challenge Cup 2025-2026 menentang Sabah FC di Stadium Bandaraya pada 4 April.