Nur Airis hadiahkan emas, Johor terus mengganas

Foto RTM

KLANG, 18 Ogos – Johor terus menyerlah dalam acara lawn bowls Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 apabila Nur Airis Safiyah Abdull menghadiahkan pingat emas acara ‘Women Singles’, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menewaskan wakil Kedah 21-10 pada final, kemenangan pada penampilan sulung SUKMA.
  • Kekal tenang dan fokus, guna strategi 'draw' menewaskan lawan yang gemar pukulan berat.
  • Terinspirasi dorongan ibu; tekankan kekuatan mental dan sasar emas beregu bersama Jahrana.

Atlet muda itu menewaskan wakil Kedah 21-10 pada aksi final di Kompleks Tertutup Lawn Bowl Bayumas, sekali gus meraih emas pada penampilan sulungnya di pentas SUKMA.

Nur Airis mengakui tidak menjangkakan kemenangan dengan margin besar itu, namun kekal tenang dan fokus selepas membaca corak permainan lawannya yang gemar menggunakan pukulan berkuasa.

“Saya tak jangka pun sebab saya tahu lawan saya suka main bola berat. Jadi saya fikir, tak apa, saya buat dulu, saya ‘draw’ dulu. Alhamdulillah dapat.”

Kejayaan itu menjadi pembakar semangat buat Nur Airis untuk terus meningkatkan prestasi dan memburu lebih banyak kejayaan, termasuk membuktikan kemampuan sebagai antara pemain terbaik dalam acara singles.

Mengimbas pembabitannya dalam lawn bowls, Nur Airis berkata beliau pada awalnya kurang berminat menyertai sukan berkenaan kerana lebih cenderung kepada taekwondo.

Bagaimanapun, dorongan ibunya menjadi titik perubahan sehingga beliau kekal dalam lawn bowls dan akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke pentas SUKMA.

Menurutnya, kekuatan mental menjadi antara kunci utama kejayaan dalam sukan itu.

“Lawn bowls ini kita kena ada semangat, kita tak boleh cepat koyak. Kita kena mental kuat.”

Nur Airis kini mengalihkan fokus kepada acara ‘Women Pairs’ bersama rakan sepasukannya, Jahrana, dengan tekad membantu Johor menambah satu lagi koleksi emas.

“Lepas ini saya ada acara beregu, mungkin saya akan dengan kawan saya Jahrana. Saya akan cuba bantu dia juga untuk dapatkan emas.”

Emas Nur Airis sekali gus menambah koleksi kejuaraan Johor dalam lawn bowls dan mengukuhkan cabaran negeri itu dalam temasya SUKMA Selangor 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.