
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Pembukaan rasmi MyAthlete Centre menerima maklum balas positif daripada bekas atlet kebangsaan.
- Pusat MyAthlete memberi ruang khas untuk atlet 'reset' minda melalui fasiliti rekreasi bagi melepaskan tekanan secara sihat dan positif.
- Pusat hibrid ini menyokong kesihatan mental, pembangunan diri dan jaminan masa depan atlet dalam ekosistem sukan berprestasi tinggi.
- Dirancang dan diuruskan bersama atlet, pusat menjadi platform praktikal keusahawanan serta program pengurusan kewangan dan penjenamaan peribadi.
Ia disifatkan sebagai langkah tepat dalam memperkukuh kebajikan serta kesejahteraan menyeluruh atlet negara.
Bekas pemain profesional boling tenpin, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi yang juga juara dunia 2017 berkata penubuhan pusat itu sebagai transformasi besar berbanding kemudahan yang dinikmati atlet sebelum ini.
“Dengan adanya MyAthlete Centre, atlet kini mempunyai ruang khas untuk ‘reset’ minda. Fasiliti rekreasi membolehkan mereka melepaskan tekanan dalam suasana sihat dan positif,” katanya.
Pusat sehenti berkonsepkan hibrid itu dibangunkan oleh Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) sebagai pelengkap ekosistem sukan berprestasi tinggi.
Ia merangkumi aspek kesihatan mental, pembangunan diri dan jaminan masa depan atlet.
Syaidatul Afifah yang dilantik sebagai jurucakap pusat berkenaan berkata beliau mahu menggunakan pengalamannya bagi merapatkan jurang komunikasi antara atlet dan pengurusan.
Pada masa sama, mempromosikan program pembangunan diri termasuk pengurusan kewangan, keusahawanan dan penjenamaan peribadi.
Sementara itu, bekas ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi menyifatkan pusat tersebut sebagai lembaran baharu landskap sukan negara kerana bakal diuruskan sendiri oleh barisan atlet.
“MyAthlete Centre ialah platform keusahawanan yang praktikal dan proaktif hasil cetusan idea MSN dan KBS,” katanya.
Pusat pertama seumpamanya di Malaysia itu dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufik Johari, pada 26 Februari lalu sebagai ruang riadah dan santai khusus untuk atlet kebangsaan.