
SHAH ALAM, 9 Ogos – Pasukan Bunga Raya 7 sebelah (7s) lelaki memilih pendekatan taktikal bagi membuka laluan ke suku akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan sasaran wajib menewaskan Uzbekistan selain mengehadkan margin kekalahan ketika berdepan Hong Kong dan China.
- Persiapan kira-kira tiga minggu tingkatkan risiko kecederaan; memerlukan pengurusan pemain lebih teliti.
- 21 pemain dalam senarai pemantauan akan digilir ikut prestasi dan tahap kecergasan semasa.
- Siri Ragbi Asia 7 Sebelah memberi pendedahan antarabangsa; fokus akhir pada kecergasan, taktikal dan pengurusan pemain.
Ketua jurulatihnya, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata strategi itu menjadi keutamaan selepas menyedari dua pasukan berkenaan mempunyai persiapan lebih rapi menerusi program latihan yang konsisten sepanjang tahun.
Menurutnya, kemenangan ke atas Uzbekistan serta usaha mengurangkan defisit mata ketika menentang Hong Kong dan China mampu meningkatkan peluang Bunga Raya 7s menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik kumpulan.
“Secara realistik saya tidak letakkan sasaran khusus. Target utama ialah kita mesti cuba kalahkan Uzbekistan dan kurangkan defisit mata apabila bertemu Hong Kong serta China.
“Dua pasukan ini boleh dianggap profesional kerana mereka menjalani persiapan dan latihan secara konsisten setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pengenalan penaja di Karnival Genblu 2026 dekat sini.
Dalam pada itu, Nik Safuan mengakui persiapan singkat menjadi cabaran utama apabila pasukan hanya mempunyai kira-kira tiga minggu untuk menjalani latihan intensif sebelum ke Sukan Asia.
Katanya, tempoh persiapan yang singkat turut meningkatkan risiko kecederaan, sekali gus memerlukan pengurusan pemain yang lebih teliti bagi memastikan skuad berada pada tahap terbaik ketika kejohanan.

“Persiapan tiga minggu ini agak singkat dan risiko kecederaan memang tinggi. Jadi, kita perlu urus pemain dengan baik.
“Saya ada 21 pemain dalam senarai pemantauan dan mereka akan digilir berdasarkan prestasi serta tahap kecergasan semasa yang saya pantau sejak awal tahun,” katanya.
Beliau menyifatkan penyertaan dalam Siri Ragbi Asia 7 Sebelah sebagai medan penting untuk memberikan pendedahan antarabangsa kepada pemain sebelum menghadapi Sukan Asia.
Menurutnya, kejohanan berkenaan membolehkan pemain memperoleh pengalaman kompetitif selain membiasakan diri dengan intensiti permainan di peringkat antarabangsa.
Bunga Raya 7s lelaki kini memasuki fasa akhir persiapan dengan tumpuan diberikan kepada kecergasan, taktikal dan pengurusan pemain bagi merealisasikan misi mara ke suku akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.