
KUALA LUMPUR, 10 April– Skuad hoki kebangsaan bakal menempuh jadual padat tahun ini dalam misi ‘serampang dua mata’ untuk memburu slot akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya, sekali gus menjamin tiket automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
- Ketua jurulatih Brendon Carolan tekankan perancangan rapi bagi memastikan pemain capai prestasi puncak menjelang kejohanan utama.
- Skuad dijangka tiba di Cape Town sekitar 10 Jun dan bermain latihan menentang Ireland sebelum Piala Negara-Negara.
- Kem latihan 10 hari termasuk dua hingga tiga hari aktiviti bina semangat untuk kukuhkan keserasian pemain.
- Skuad sedia hadapi Piala Dunia di Belgium 14 hingga 30 Ogos; pemanas badan lawan Sepanyol 13 Ogos, rasmi mula lawan Jerman 15 Ogos.
Ketua jurulatih, Brendon Carolan menegaskan bahawa perancangan rapi itu amat kritikal bagi memastikan setiap pemain mencapai tahap prestasi puncak menjelang kejohanan-kejohanan utama yang bakal ditempuh.
“Kami dijangka tiba di Cape Town sekitar 10 Jun dan akan mengadakan perlawanan latihan menentang Ireland sebelum memulakan saingan Piala Negara-Negara. Kejohanan itu dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 20 Jun dan sejurus tamat, kami akan ke Durban. Namun, buat masa ini, semua ini masih di peringkat perancangan awal.”
“Kami bakal menjalani kem latihan selama 10 hari, dengan dua atau tiga hari daripadanya dikhususkan untuk aktiviti bina semangat bagi mengukuhkan lagi keserasian serta hubungan sesama pemain,” kata Carolan kepada pemberita pada sidang media bersama Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan di ibu negara.
Skuad Speedy Tigers dijadualkan memulakan cabaran di Piala Negara-Negara di Cape Town, Afrika Selatan dan dijangka berlepas sekitar 5 atau 6 Jun depan.
Brendon turut memaklumkan bahawa para pemain akan diberikan pelepasan rehat selama seminggu bersama keluarga, sebelum menyambung semula latihan intensif di Belgium pada awal Ogos.
“Kita perlu memastikan pasukan mampu bersaing sengit dengan Jerman dan memberi tentangan hebat kepada Belgium, selain berharap dapat beraksi cemerlang di pentas akhir Piala Negara-Negara. Hanya dengan cara itulah kita dapat membina keyakinan diri yang diperlukan untuk menumbangkan India nanti,” tambahnya.
Malaysia bakal mengharungi saingan Piala Dunia di Belgium dari 14 hingga 30 Ogos.
Skuad negara akan turun menentang Sepanyol pada 13 Ogos bagi aksi pemanas badan sebelum membuka kempen rasmi menentang Jerman pada 15 Ogos.
Setakat ini, seramai 26 pemain berada dalam radar skuad kebangsaan, namun senarai akhir masih belum dimuktamadkan dan akan ditentukan berdasarkan prestasi semasa menjelang Mei ini.