Minat mendalam, kanak-kanak kumpul tanda tangan kesemua pemain Afrika Selatan

‘Lucho’ dengan bangga mempamerkan jersi Afrika Selatan serta album Piala Dunia yang telah ditandatangani oleh seluruh pemain pasukan berkenaan / foto Viory

PACHUCA, 9 Jun – Semangat luar biasa seorang kanak-kanak Mexico berusia 11 tahun terhadap Piala Dunia 2026 berjaya mencuri perhatian skuad bola sepak Afrika Selatan yang kini menjalani persiapan terakhir menjelang perlawanan pembukaan menentang tuan rumah, Mexico.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lucho berjaya mengumpul tandatangan kesemua 26 pemain pada album Piala Dunia miliknya.
  • Kesungguhan hadir setiap hari ke hotel menarik perhatian jurulatih dan pemain, jurulatih menghadiahkan jersi pasukan kepadanya.
  • Minatnya bermula selepas mencari maklumat sendiri; kini mensasarkan menyaksikan perlawanan pembukaan Piala Dunia dan sangat teruja.

Luis Hernandez, yang lebih dikenali sebagai ‘Lucho’, berjaya mengumpulkan tanda tangan kesemua 26 pemain skuad Bafana Bafana pada album Piala Dunia miliknya selepas mengikuti perkembangan pasukan itu sejak dua tahun lalu.

Menurut ‘Lucho’, dia teruja apabila mengetahui skuad Afrika Selatan akan menginap di Pachuca sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi kejohanan itu.

“Saya sangat gembira apabila mengetahui mereka akan datang. Pada mulanya saya fikir pasukan Mexico yang akan berada di sini, tetapi akhirnya Afrika Selatan yang datang dan saya tetap berasa sangat teruja,” katanya.

disebabkan teruja, ‘Lucho’ sanggup hadir setiap hari ke hotel penginapan pasukan bagi mendapatkan tanda tangan pemain, usaha yang akhirnya menarik perhatian barisan kejurulatihan dan pemain sendiri.

“Ada pemain yang hampir berlalu begitu sahaja, tetapi jurulatih menghentikan mereka dan meminta mereka menandatangani album saya,” katanya.

Sebagai penghargaan atas kesungguhannya, jurulatih Afrika Selatan turut menghadiahkan sehelai jersi pasukan kepada kanak-kanak itu.

Ibunya, Lithzel Hernandez, berkata minat anaknya terhadap skuad Afrika Selatan bermula selepas dia sendiri mencari maklumat mengenai kehadiran pasukan itu ke Mexico.

“Dia meminjam telefon saya untuk membuat carian dan mengetahui perkembangan ketibaan pasukan itu. Selepas itu dia berkata mahu menghasilkan video pertamanya dan datang ke hotel pasukan setiap hari,” katanya.

Selepas berjaya mendapatkan tanda tangan seluruh skuad Afrika Selatan, ‘Lucho’ kini mempunyai sasaran baharu iaitu menyaksikan sendiri perlawanan pembukaan Piala Dunia 2026 yang dijadual berlangsung pada 11 Jun.

Dalam masa sama, dia tidak sabar menantikan aksi pembukaan antara Mexico dan Afrika Selatan.

“Saya sangat gembira kerana saya rasa ia akan menjadi perlawanan yang hebat. Kedua-dua pasukan membuat persiapan yang sangat baik,” katanya. – Viory

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.