Penduduk Gaza hidupkan semangat Piala Dunia

Penduduk Gaza raikan pelancaran Simulasi Piala Dunia 2026 di Stadium Syahid Mohammed Al-Durra, Deir Al-Balah, Gaza / foto Viory

DEIR AL-BALAH, 9 Jun – Penduduk Gaza melancarkan Projek Simulasi Piala Dunia 2026 di Stadium Syahid Mohammed Al-Durra sebagai usaha membawa sedikit kegembiraan kepada komuniti yang hidup dalam keadaan serba mencabar di kem penempatan sementara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek bertujuan mengurangkan tekanan emosi dan beban penduduk akibat peperangan serta perpindahan paksa.
  • Upacara menyalakan obor simbolik disertai sorakan dan tepukan kanak-kanak serta penduduk setempat.
  • Aktiviti merangkumi perlawanan sukan, penghasilan mural dan program kemasyarakatan bersama tokoh tempatan serta antarabangsa.
  • Dibiayai oleh Jawatankuasa Khidmat Rakan Amerika dan dilaksanakan oleh Phoenix untuk menyuarakan rakyat Gaza melalui sukan.

Majlis pelancaran yang berlangsung pada Ahad itu menyaksikan upacara menyalakan obor simbolik, diiringi sorakan dan tepukan kanak-kanak serta penduduk setempat yang hadir memeriahkan acara berkenaan.

Anggota Jabatan Media Aktiviti Simulasi Piala Dunia, Ahmed Abu Diab, berkata projek tersebut diwujudkan bagi membantu mengurangkan tekanan emosi dan beban yang ditanggung penduduk akibat peperangan serta perpindahan paksa.

“Simulasi Piala Dunia ini dilancarkan dari lokasi ini sebagai simbol bahawa penduduk yang dipindahkan juga berhak untuk tersenyum dan menikmati kehidupan.

“Pada masa sama, kami mahu menghidupkan semula stadium-stadium ini serta memulihkannya agar kembali menjadi lokasi yang menarik dan bermakna kepada masyarakat,” katanya.

Seorang peserta program, Karim Rayan, berkata keadaan semasa di Gaza amat berbeza berbanding ketika Piala Dunia 2022 berlangsung, apabila kehidupan masyarakat ketika itu lebih stabil dan mereka dapat mengikuti perkembangan sukan dengan lebih dekat.

“Dahulu kehidupan lebih makmur dan membahagiakan. Hari ini, ketika dunia menyaksikan Piala Dunia, sukan yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan kami bukan lagi keutamaan. Kini, kami hanya mampu mengikuti keputusan perlawanan secara terhad,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang dipindahkan, Mohmoud Mohsen, berkata peperangan telah memaksa ribuan keluarga tinggal di khemah dalam tempoh yang panjang.

“Kami berada dalam keadaan yang amat sukar. Peperangan memaksa kami hidup di dalam khemah. Empat tahun lalu, orang ramai dapat menikmati Piala Dunia dengan selesa, tetapi kini kami tinggal dan tidur di dalam khemah, dan keadaan ini berlarutan selama bertahun-tahun,” katanya.

Projek Simulasi Piala Dunia 2026 di Gaza dibiayai oleh Jawatankuasa Khidmat Rakan Amerika
(Quakers) dan dilaksanakan oleh Syarikat Logistik, Bantuan dan Perkhidmatan Kemanusiaan Phoenix.

Menurut laporan tempatan, projek itu merangkumi pelbagai aktiviti sukan, komuniti dan kebudayaan yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat, termasuk penganjuran perlawanan sukan, penghasilan mural serta program kemasyarakatan yang melibatkan tokoh tempatan, serantau dan antarabangsa.

Penganjur berharap inisiatif berkenaan dapat membantu menyampaikan suara dan mesej rakyat Gaza kepada masyarakat antarabangsa menerusi medium sukan. – Viory

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.