
SUBANG JAYA, 25 Ogos – Jasa dan keprihatinan legenda hoki negara, mendiang Sarjit Singh terus dikenang, khususnya oleh pemain yang pernah menerima bimbingan beliau.
- Sarjit sentiasa mengambil berat kebajikan pemain; sering menghubungi keluarga Amandeep ketika beliau menyertai kejohanan.
- Amandeep anggap Sarjit sebagai idola dan bersyukur mendapat peluang menimba ilmu serta pengalaman daripadanya.
- Sebagai penghormatan, Amandeep bertekad meningkatkan prestasi dan mencapai impian bersama skuad kebangsaan.
Pemain skuad hoki kebangsaan Bawah 18 Tahun (B-18), Amandeep Singh berkata, mendiang bukan sekadar seorang jurulatih, malah insan yang sentiasa mengambil berat kebajikan serta perkembangan anak didiknya.
“Setiap kali saya menyertai kejohanan, beliau akan menghubungi bapa saya untuk bertanyakan khabar mengenai keadaan saya. Bagi saya, perkara itu cukup menggambarkan keperibadian beliau yang sentiasa mengambil berat terhadap semua orang di sekelilingnya.
“Beliau mahu melihat setiap anak didiknya mencapai kejayaan. Beliau juga merupakan idola saya. Saya rasa amat saya bertuah kerana berpeluang berlatih bersama seorang legenda.
“Saya amat bersyukur kerana diberi kesempatan untuk menimba ilmu dan pengalaman daripada beliau,” katanya ketika ditemui pada upacara penghormatan terakhir mendiang Sarjit, di sini.
Tambah Amandeep, sebagai penghormatan kepada mendiang Sarjit, beliau bertekad untuk terus meningkatkan prestasi dan mencapai impian bersama skuad kebangsaan.
Dalam perkembangan berkaitan, jasad mendiang Sarjit dibawa keluar meninggalkan kediamannya pada pukul 9.30 pagi Selasa untuk upacara penghormatan terakhir yang diadakan di Shamshan Bhoomi, Jalan Loke Yew, diikuti pembakaran mayat pada 1 tengah hari.
Sarjit, 63, dilaporkan meninggal dunia pada Ahad lalu selepas mengalami masalah kesihatan.
Selain pernah memegang jawatan ketua jurulatih kebangsaan, Sarjit juga merupakan bekas kapten dan pemain Olimpik negara.