
SEPANG, 25 Ogos – Kejayaan meraih gelaran naib juara Kejohanan Badminton Dunia BWF 2026 di New Delhi, India pada Ahad lalu, tidak menjamin kedudukan gandingan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebagai pasangan tetap, dikekalkan.
- Keputusan tentang kekal atau pertukaran gandingan Aaron-Wooi Yik akan ditentukan selepas penilaian akhir tahun oleh barisan kejurulatihan.
- Pertukaran pasangan beberapa bulan lalu memberi pengalaman penting kepada pemain muda dan akan diteruskan dalam perancangan termasuk kejohanan di Eropah.
- Wooi Yik akui kerjaya tidak panjang; mereka akan berbincang dengan jurulatih, manakala Aaron percaya gandingan asal masih ada kelebihan.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berkata, semua gandingan dalam skuad masih perlu melalui proses penilaian dan belum ada keputusan muktamad mengenai pasangan tetap masing-masing.
“Ya, kita masih tengok hasil gandingan dengan yang lain. Nanti akhir tahun kita akan buat penilaian untuk lihat sama ada pasangan ini akan kekal atau tidak. Selepas itu barulah boleh dipastikan, ” katanya ketika ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.
Tambah beliau, proses pertukaran pasangan yang dilaksanakan sejak beberapa bulan lalu turut memberi pengalaman kepada mereka menyesuaikan diri dengan gandingan berbeza, khususnya pemain muda.

Sementara itu, Aaron Chia ketika diminta mengulas kejayaan merangkul pingat perak pada kejohanan tersebut menyifatkan pencapaian itu cukup membanggakan buat beliau dan Wooi Yik selepas melalui perjalanan panjang dalam karier mereka.
“Satu pencapaian yang kami rasa amat bangga. Sebagai pemain, dalam karier kita boleh dapat pingat, gelaran semua. Jadi, kita akan lebih rajin lagi, bekerja lebih keras,” katanya.
Wooi Yik pula melihat kejayaan melangkah ke final sebagai pencapaian penting dan menghargai sokongan serta kerja keras seluruh pasukan.
“Satu pencapaian buat kami dan juga negara. Saya menghargai segala kerja keras semua,” katanya.
Pencapaian itu bagaimanapun belum menjamin masa depan gandingan berkenaan, dengan keputusan tetap hanya akan dibuat selepas penilaian sehingga akhir tahun.
Aaron berkata mereka masih perlu mengikuti perancangan barisan kejurulatihan.
“Kalau ikut perancangan jurulatih, memang kejohanan di Eropah nanti akan ada pertukaran pasangan. Kita akan susuli dan berbincang semula dengan semua barisan jurulatih,” katanya.
Beliau pada masa sama berpandangan, gandingan asal bersama Wooi Yik masih mempunyai kelebihan berbanding kombinasi lain.
Wooi Yik pula mengakui tempoh kariernya sebagai pemain semakin singkat dan menyerahkan keputusan mengenai gandingan kepada pihak kejurulatihan.
“Bagi saya secara peribadi karier sudah tidak panjang. Saya akan fikirkan keputusan sekiranya ada pertukaran dan berbincang dengan jurulatih tentang masa depan. Saya masih ada dua tahun lagi, jadi saya perlu putuskan apa yang perlu,” katanya.
Aaron-Wooi Yik menempuh laluan sukar di New Delhi sebelum mara ke final. Mereka terpaksa bekerja keras untuk menang dalam aksi tiga set pada pusingan pembukaan, sebelum mendapat kemenangan percuma ke pusingan seterusnya selepas pasangan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menarik diri susulan masalah kesihatan Kai Wun.
Di separuh akhir, pasangan ranking dunia keempat itu menewaskan juara bertahan yang juga beregu nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, 21-17, 21-18 untuk melangkah ke final.
Namun, pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang tampil lebih agresif pada aksi penentuan untuk menewaskan Aaron-Wooi Yik 21-17, 21-16 sekali gus muncul juara dunia buat kali pertama.
Aaron-Wooi Yik melengkapkan koleksi pingat mereka di pentas dunia, selepas meraih emas pada 2022 dan gangsa pada 2023.