Melaka FC hidupkan peluang keluar zon bahaya

Ketua jurulatih Melaka FC, E. Elavarasan./foto BERNAMA

MELAKA, 24 April – Melaka FC menghidupkan peluang untuk keluar daripada zon penyingkiran Liga Super selepas melakar kemenangan penting 1-0 menewaskan Sabah FC di Stadium Hang Jebat, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jurulatih E. Elavarasan anggap kemenangan sebagai suntikan moral dan peringatan untuk tidak terlalu selesa.
  • Gol tunggal hasil jaringan pemain import Dino Kalesic pada minit ke-68.
  • Melaka FC kini melonjak ke tangga ke-10, naik daripada kedudukan ke-12 sebelum ini.
  • Baki empat perlawanan termasuk menentang JDT pada 28 April; Elavarasan mahu fokus satu persatu dan beri pemain ruang rehat.

Ketua jurulatihnya, E. Elavarasan, menyifatkan kemenangan itu sebagai suntikan moral buat pasukannya yang kini mengharungi baki empat perlawanan terakhir sebelum musim melabuhkan tirai pada 15 Mei ini.

Beliau percaya skuad kendaliannya masih berpeluang cerah untuk mengutip mata maksimum, sekali gus mengelak daripada menamatkan saingan di tangga terbawah liga.

“Ini kemenangan yang sangat penting buat kami dalam situasi getir ini. Tiga mata ini membangkitkan keyakinan pemain, namun kami tidak boleh terlalu selesa,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Kemenangan itu hadir hasil jaringan tunggal pemain import, Dino Kalesic, pada minit ke-68.

Keputusan tersebut menyaksikan Melaka FC melonjak ke tangga ke-10, meninggalkan kedudukan ke-12 yang dihuni sebelum ini.

Mengulas mengenai baki jadual, Elavarasan mengakui pasukannya bakal berdepan cabaran getir, terutamanya apabila dijadualkan bertemu juara liga, Johor Darul Ta’zim FC (JDT), di laman sendiri pada 28 April ini.

Melaka FC kemudian akan bertandang ke gelanggang Negeri Sembilan FC, sebelum menutup tirai saingan di laman sendiri menentang Kuching City FC dan Imigresen FC.

“JDT merupakan pasukan terbaik dan perlawanan itu pasti sukar. Namun, kami akan kekal fokus pada setiap perlawanan secara satu persatu.

“Buat masa ini, pemain perlu diberikan ruang untuk berehat dan menjalani pemulihan sebelum membuat persiapan rapi bagi menghadapi aksi seterusnya,” katanya.

Bagi Sabah FC, hasrat untuk meneruskan momentum kemenangan selepas menjulang Piala Cabaran lima hari lepas tidak kesampaian apabila akur dengan kekalahan tipis 0-1 di tangan Melaka FC. – BERNAMA