
ROM, 12 Julai – Ikon bola sepak Itali, Paolo Maldini telah dilantik sebagai pengarah teknikal Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) dalam usaha membangunkan semula pasukan kebangsaan selepas Itali gagal melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut.
- Presiden FIGC percaya Maldini paling sesuai memimpin sektor teknikal, merangkumi pasukan kebangsaan senior dan pembangunan peringkat remaja.
- FIGC komited selama empat tahun untuk membawa pasukan ke Piala Dunia 2030, dengan kejohanan Eropah sebahagian daripada perancangan.
- Maldini pegang jawatan Presiden Club Italia, bekerjasama dengan Leonardo sebagai penasihat, memegang kuasa tertinggi dalam keputusan aspek sukan.
“Maldini sentiasa menjadi pilihan utama saya,” kata Presiden FIGC yang baharu dilantik, Giovanni Malago.
“Saya percaya beliau ialah individu paling sesuai untuk menerajui sektor teknikal FIGC iaitu jawatan yang bukan sahaja merangkumi pasukan kebangsaan senior, malah keseluruhan pembangunan pasukan kebangsaan di peringkat remaja.”
Tambah Malago, pihaknya akan memulakan komitmen selama empat tahun dari sekarang untuk membawa Itali sehingga Piala Dunia 2030, dengan kejohanan Eropah turut menjadi sebahagian daripada perancangan itu.
FIGC memaklumkan Maldini, 58, akan bekerjasama dengan Leonardo, bekas pengarah sukan Paris Saint-Germain (PSG) dan AC Milan, yang akan bertindak sebagai penasihatnya.
Maldini turut akan memegang jawatan Presiden Club Italia, badan yang menyelia semua pasukan kebangsaan bagi setiap peringkat umur, termasuk skuad lelaki dan wanita.
Ia merupakan peranan berganda yang pertama seumpamanya dalam FIGC, sekali gus memberikan Maldini kuasa tertinggi dalam semua keputusan berkaitan aspek sukan.
Misi utama beliau adalah mengembalikan kegemilangan skuad Azzurri yang semakin kehilangan status sebagai antara kuasa besar bola sepak dunia selepas gagal layak ke tiga edisi Piala Dunia berturut-turut, meskipun muncul juara kejohanan Eropah pada 2021. – AFP