
PETALING JAYA, 2 September – Langkah merangka strategi khusus bagi mengenal pasti dan membangunkan sekurang-kurangnya satu acara larian utama negara menjadi keutamaan paling penting yang perlu dilaksanakan Malaysia ketika ini.
- Malaysia penganjur ratusan larian setahun tetapi kekurangan acara bertaraf dunia, hanya tiga "World Label" kini.
- Masalah utama ialah tiada ekosistem atau pihak yang mengenal pasti dan membangunkan acara terbaik secara konsisten.
- Perlu mencontohi model Singapura; fokus strategik pada acara utama untuk maksima impak pelaburan dan daya saing ASEAN.
Ketua Pegawai Eksekutif CheckPointSpot, Benjamin Yeow berkata, meskipun Malaysia menganjurkan ratusan acara larian setiap tahun dengan keupayaan teknikal yang baik, negara masih ketandusan penganjuran bertaraf dunia.
Beliau menegaskan, cabaran utama sukan berkenaan bukan terletak pada jumlah penganjuran, sebaliknya ketiadaan strategi khusus untuk menggilap potensi acara tempatan ke peringkat antarabangsa.
“Setiap tahun terdapat ratusan acara dianjurkan, namun yang masih kurang ialah perlumbaan bertaraf ‘World Label’. Setakat ini Malaysia hanya mempunyai tiga acara berstatus berkenaan.
“Masalah utama kita ialah tiada pihak atau ekosistem yang bertindak mengenal pasti nilai acara-acara terbaik di Malaysia untuk difokuskan dan dibangunkan secara konsisten,” katanya ketika ditemui RTM disini.
Mengulas lanjut, Yeow berkata Malaysia perlu meneladani langkah Singapura yang memberi tumpuan penuh kepada penganjuran Maraton Singapura sebagai acara sukan utama sehingga berjaya meraih pengiktirafan antarabangsa.
Menurut beliau, pendekatan strategik itu penting bagi memastikan pelaburan dan sumber yang diperuntukkan dalam industri sukan tempatan dapat memberi impak maksimum, sekali gus membolehkan Malaysia bersaing dengan negara-negara jiran di rantau ASEAN.