Alcaraz bangkit tewaskan Faria, mara pusingan ketiga AS Terbuka

Carlos Alcaraz / AFP

NEW YORK, 3 September – Bintang Sepanyol, Carlos Alcaraz bangkit daripada permulaan hambar untuk melakar kemenangan bergaya apabila menewaskan pemain ranking ke-72 dunia dari Portugal, Jaime Faria, 4-6, 6-0, 6-3, 6-2 pada pusingan kedua Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kembali beraksi kali pertama sejak kecederaan pergelangan tangan pada April, selepas berehat hampir empat bulan.
  • Terdapat tanda tanya mengenai tahap kecergasan kerana terlepas Terbuka Perancis dan Wimbledon.
  • Mengaku hilang kawalan awal, tergesa-gesa selepas terlepas peluang break, kemudian kekal tenang dan tingkatkan intensiti.

Pemain pilihan kedua kejohanan itu  yang beraksi dalam kejohanan pertamanya sejak kecederaan pergelangan tangan memaksanya berehat pada April, bermula perlahan sebelum menguasai perlawanan.

Alcaraz yang meraih gelaran Grand Slam ketujuhnya di Terbuka Australia pada Januari, hadir di New York dengan tanda tanya mengenai tahap kecergasannya selepas kecederaan pergelangan tangan memaksanya berehat selama empat bulan, sekali gus terlepas Terbuka Perancis dan Wimbledon.

Beliau bagaimanapun menepis keraguan itu menerusi kemenangan straight set ke atas Roman Safiullin pada pusingan pertama, namun mengambil sedikit masa untuk menemui rentak ketika berdepan Faria yang memiliki servis kencang.

Faria berjaya mendahului 4-3 pada set pembukaan selepas Alcaraz melakukan kesilapan pada pukulan forehand.

Faria kemudian mengekalkan kelebihan itu untuk memenangi set berkenaan, namun Alcaraz meningkatkan intensiti permainannya selepas itu sehingga Faria gagal mengekalkan rentak.

“Perlawanan yang sukar bagi saya,” kata Alcaraz, sambil mengakui beliau hilang sedikit kawalan selepas gagal memanfaatkan peluang mata break pada peringkat awal.

“Selepas itu saya tergesa-gesa. Saya tidak mengambil masa, saya tidak sabar dan perkara itu jelas menyebabkan saya kehilangan servis.

“Saya cuba kekal tenang … berfikir bahawa perkara yang baik akan berlaku lagi,” katanya. – AFP.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.