Liga Super: Sabah seri 1-1 dengan Negeri Sembilan di Likas

Ketua jurulatih Sabah, Juan Torres Garrido (Kanan) / FOTO BERNAMA

KOTA KINABALU, 1 Mac – Sabah FC terikat 1-1 menentang Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super Malaysia di Stadium Likas, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sabah seri 1-1 dengan Negeri Sembilan di Stadium Likas.
  • Negeri Sembilan buka jaringan oleh Jovan Motika pada minit ke-33.
  • Kumaahran Sathasivam menyamakan kedudukan pada minit ke-69 hasil sepakan percuma pantas.
  • Jurulatih Sabah puji persembahan walau tidak gembira dengan keputusan seri.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Sabah memulakan permainan dengan tempo pantas dan mencipta beberapa peluang awal, namun kekentalan pertahanan pelawat berjaya mengekang asakan tuan rumah pada separuh masa pertama.

Sebaliknya, Negeri Sembilan terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-33 menerusi gol Jovan Motika untuk mendahului 1-0 hingga tamat babak pertama.

Memasuki separuh masa kedua, skuad Badak terus menguasai permainan dan menggandakan tekanan ke arah kubu lawan sebelum berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-69.

Gol penyamaan hadir hasil sepakan percuma pantas Duje Ljubic yang membuka ruang kepada Kumaahran Sathasivam untuk menyempurnakan jaringan ketika penjaga gol Negeri Sembilan, Azri Ghani berada di luar posisi.

Keputusan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan dengan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Ketua jurulatih Sabah, Juan Torres Garrido mengakui keputusan seri bukan sesuatu yang menggembirakan, namun berpuas hati dengan persembahan pemain.

“Selepas keputusan seri ini, saya tidak boleh mengatakan saya gembira. Tetapi secara keseluruhan, persembahan pasukan sangat baik dalam tempoh singkat yang kami ada. Jelas sekali para pemain telah memberikan yang terbaik. Dengan sokongan penyokong, saya fikir ia sesuatu yang positif. Kami akan terus pandang ke hadapan dan bersedia untuk perlawanan seterusnya.”

Sementara itu, jurulatih interim Negeri Sembilan, K. Rajan berkata pasukannya perlu memperbaiki penyudah walaupun berjaya mencipta banyak peluang

“Untuk perlawanan seterusnya, kami perlu meningkatkan semangat juang, serangan dan penyudah. Hari ini kami mencipta banyak peluang tetapi gagal menyempurnakannya. Jadi kami perlu memperbaiki penyudah pada perlawanan akan datang.”

Selepas 17 perlawanan, Sabah kini berada di tangga ke-10 dengan 15 mata, manakala Negeri Sembilan di kedudukan ketujuh dengan 18 mata.