Liga Super: Hasrat Selangor bawa pulang tiga mata penuh tidak kesampaian

FOTO BERNAMA

MELAKA, 1 Mac – Hasrat Selangor FC untuk membawa pulang tiga mata penuh dari Stadium Hang Jebat tidak kesampaian apabila terikat tanpa jaringan dengan tuan rumah Melaka FC.

RINGKASAN BERITA AI
  • Selangor terikat 0-0 dengan Melaka, hasrat bawa pulang tiga mata tidak tercapai.
  • Serangan Selangor gagal tembus pertahanan Melaka, peluang terbaik Pernambuco berjaya ditepis penjaga gol.
  • Pan Gon kecewa tetapi minta pemain terus berusaha; Melaka puji peningkatan disiplin pertahanan pasukan.

Serangan tumpul pasukan bimbingan jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon, gagal menembusi benteng pertahanan Melaka sepanjang perlawanan.

Peluang terbaik pelawat hadir pada minit ke-81 menerusi rembatan jarak dekat penyerang dari Brazil, Pernambuco.

Namun percubaan itu berjaya ditepis penjaga gol Melaka, Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil.

Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Dalam pada itu, Pan Gon tidak berpuas hati dengan aksi skuad itu. Katanya, tidak menyalahkan pemain, namun sebagai pasukan di tangga ke dua liga, perlu bekerja keras pada aksi selepas ini untuk mengumpul mata.

“Ia sangat sukar kerana pihak lawan bertahan dengan baik di dalam kotak penalti. Dalam bola sepak, jika mahu kekal di kedudukan kedua, kita perlu mengatasi situasi seperti ini. Kami sudah mencuba dan saya tidak menyalahkan sesiapa,” katanya.

“Kadang-kadang kita gagal mengatasinya dan ia memang mengecewakan, tetapi kami perlu terus bangkit dan tidak berputus asa. Setakat ini, para pemain telah menjalankan tugas dengan sangat baik.”

Sementara itu, jurulatih Melaka FC, E. Elaravasan melihat peningkatan dalam aspek pertahanan pasukannya. Beliau berkata, walaupun gagal mencatat kemenangan dalam dua aksi terdahulu di laman sendiri, keyakinan pemain semakin meningkat.

“Kami tahu Selangor akan tampil lebih agresif pada separuh masa kedua. Penting untuk kami mengekalkan disiplin dan fokus dalam pertahanan. Saya rasa pemain Melaka melaksanakan tugas dengan baik kerana walaupun Selangor mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, usaha bertahan secara berpasukan membantu pasukan. Kami juga mempunyai peluang, namun peluang Selangor lebih baik,” katanya.

Walaupun mengumpul jumlah mata yang sama iaitu 36, Selangor berjaya memintas Kuala Lumpur City FC untuk naik ke tangga kedua menerusi kelebihan perbezaan jaringan.

Sementara itu, Melaka kekal di tangga ke-12 liga dengan 11 mata.