
LAUSANNE, 6 Julai- Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) menyifatkan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menangguhkan penggantungan satu perlawanan penyerang Amerika Syarikat, Folarin Balogun sebagai telah “melangkaui garisan merah” dan menjejaskan asas keadilan dalam sukan bola sepak.
- UEFA mengecam keputusan FIFA menangguhkan pelaksanaan penggantungan automatik satu perlawanan, menyifatkannya sebagai melangkaui garisan merah dan menjejaskan keadilan sukan.
- UEFA kata perlu peraturan yang jelas, telus dan seragam; keputusan itu boleh merosakkan kredibiliti bola sepak di peringkat global.
- Keputusan dianggap luar biasa, tidak dapat dijustifikasikan; dilaporkan dipengaruhi campur tangan politik termasuk Donald Trump dan Marco Rubio.
UEFA dalam kenyataan tegas berkata keputusan tersebut yang membolehkan Balogun beraksi dalam aksi pusingan 16 menentang Belgium bercanggah dengan prinsip asas permainan yang berteraskan peraturan yang sama dan adil untuk semua.
“Keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan penggantungan automatik satu perlawanan selama tempoh percubaan setahun bagi kad merah yang dikenakan kepada Folarin Balogun telah melangkaui garisan merah,” menurut kenyataan itu.
Menurut UEFA, bola sepak bergantung kepada peraturan yang jelas, telus dan seragam bagi memastikan pertandingan yang adil, sambil memberi amaran bahawa keputusan sedemikian boleh memberi kesan besar kepada kredibiliti sukan itu secara global.
“Bola sepak menjadi sukan paling digemari di dunia kerana ia berasaskan undang-undang permainan yang seragam di semua peringkat. Sesuatu kejohanan tidak wajar dianggap terasing, apatah lagi jika melibatkan Piala Dunia,” menurut kenyataan itu.
UEFA turut menyifatkan keputusan berkenaan sebagai tidak pernah berlaku sebelum ini serta tidak dapat dijustifikasikan.
Kontroversi tercetus selepas Balogun pada asalnya dilayangkan kad merah ketika aksi menentang Bosnia dalam pusingan 32 terbaik, sebelum FIFA memutuskan untuk menangguhkan penggantungan tersebut.
Sumber memaklumkan keputusan itu dibuat selepas campur tangan luar termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Setiausaha Negara, Marco Rubio yang dilaporkan menggesa semakan semula hukuman tersebut.
Sementara itu, jurulatih Belgium, Rudi Garcia, menyindir keputusan berkenaan dengan menyifatkan situasi itu seolah-olah menjadikan tarikh 5 Julai seperti 1 April (April Fool’s Day) merujuk kepada keputusan yang dianggap luar biasa. -AFP
