Komitmen Lee Zii Jia, perkukuh skuad Piala Thomas negara

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Februari– Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merakamkan penghargaan tinggi kepada jaguh perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia serta pasukannya atas persetujuan menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi saingan Piala Thomas pada April depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lee Zii Jia dan pasukannya bersetuju sertai skuad Piala Thomas demi semangat patriotisme dan cinta negara.
  • KBS hargai keputusan itu kerana meletakkan kepentingan sukan negara mengatasi agenda peribadi.
  • Penyertaan Zii Jia dijangka tingkatkan motivasi, keserasian dan peluang Malaysia buru kembali kejuaraan Piala Thomas.

Langkah itu mencerminkan semangat patriotisme dalam usaha bersama untuk membawa pulang trofi berprestij tersebut ke tanah air, yang kali terakhir dimenangi Malaysia pada tahun 1992.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari meluahkan harapan agar kerjasama padu antara pasukan Zii Jia, barisan pemain sedia ada dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) diharap mampu mengulangi kegemilangan tersebut melalui kombinasi serta keserasian mantap di atas gelanggang.

“Kejayaan itu mampu dicapai semula menerusi kombinasi serta kerjasama yang mantap daripada pasukan beliau dan semua pemain yang bersetuju untuk bersama kita.”

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka dan penyertaan ini adalah atas dasar semangat cintakan negara,” kata Dr. Mohammed Taufiq, hari ini.

Beliau berkata, kementeriannya menyambut baik keputusan positif yang dicapai hasil perbincangan dengan pihak pengurusan terlibat, yang meletakkan kepentingan sukan negara mengatasi agenda peribadi.

Menurutnya, penyertaan Zii Jia dijangka mampu menyuntik motivasi serta meningkatkan semangat juang dalam kalangan barisan pemain badminton negara bagi memburu kejuaraan.