Kem badminton negara menyerlah di Masters Indonesia

Foto BERNAMA

INDONESIA, 24 Januari Kem badminton negara terus menyerlah di Istora Senayan apabila dua lagi beregu Malaysia melangkah ke perlawanan akhir Masters Indonesia, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pearly Tan–M. Thinaah mara ke final Masters Indonesia selepas menewaskan pasangan tuan rumah 21-15, 21-8 dalam 32 minit.
  • Goh Sze Fei–Nur Izzuddin melayakkan diri ke final dengan kemenangan straight set 21-9, 21-15 dalam 28 minit.
  • Kedua-dua beregu ini capai pencapaian terbaik musim ini dan bakal berdepan lawan kuat di pentas akhir esok.

Beregu wanita nombor dua dunia, Pearly Tan–M. Thinaah, hanya selangkah untuk merangkul gelaran pertama musim ini selepas mengesahkan kemaraan ke pentas akhir.

Dalam aksi separuh akhir, pasangan pilihan utama kejohanan itu menepati ramalan apabila menewaskan wakil tuan rumah, Lanny Tria Mayasari–Apriyana Rahayu secara straight set 21-15, 21-8 dalam tempoh 32 minit.

Naib juara edisi lalu itu bermula garang dengan mendahului 6-1 pada set pertama sebelum kembali menguasai permainan bagi menutup set pembukaan 21-15.

Pada set kedua, Pearly–Thinaah tampil lebih dominan apabila memperoleh kelebihan besar 8-1 dan terus menjarakkan kedudukan sebelum mengesahkan kemenangan dengan hanya membenarkan lawan mengutip lapan mata.

Menanti Pearly–Thinaah di perlawanan akhir esok ialah gandingan Jepun, Arisa Igarashi–Miyu Takahashi, yang mara selepas menewaskan wakil tuan rumah, Rachel Allessya Rose–Febi Setianingrum, dalam pertarungan tiga set.

Sementara itu, beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani, turut mengesahkan tempat ke perlawanan akhir selepas menundukkan pasangan Denmark, Daniel Lundgaard–Mads Vestergaard.

Pasangan ranking kesembilan dunia itu hanya memerlukan 28 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-9, 21-15 dalam aksi separuh akhir.

Kejayaan itu merupakan pencapaian terbaik Sze Fei–Izzuddin musim ini, sekali gus menebus kekecewaan tersingkir awal pada Terbuka Malaysia dan Terbuka India sebelum ini.

Di pentas akhir, Sze Fei–Izzuddin bakal berdepan pasangan tuan rumah, Raymond Indra–Nikolaus Joaquin, yang mara selepas menewaskan rakan senegara mereka dalam satu lagi aksi separuh akhir.