
KUALA LUMPUR, 3 April – Skuad badminton negara dituntut mempamerkan prestasi terbaik tanpa terlalu bergantung kepada tonggak utama, khususnya menjelang Kejohanan Badminton Asia 2026 yang membuka tirai minggu depan.
- Barisan pemain selain tonggak utama mesti tampil ke hadapan dan tunjukkan kemampuan bersaing di peringkat tertinggi.
- Cabaran utama kini adalah kekuatan mental dan cara berfikir pemain, bukan aspek latihan semata.
- Potensi juara ada kerana pernah kalahkan pemain ranking 10 dunia; mentaliti mesti selari dengan visi jurulatih.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky menegaskan, sudah tiba masanya barisan pemain lain tampil ke hadapan dan membuktikan kemampuan untuk bersaing di pentas tertinggi.
“Kita tidak mahu hanya bergantung kepada Aaron-Wooi Yik atau pasangan utama lain. Kita ada ramai pemain berpotensi dan mereka juga perlu tampil dengan mentaliti untuk menyerlah di kejohanan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di ibu negara.
Tambah Rexy, cabaran utama ketika ini bukan lagi dari aspek latihan, sebaliknya kekuatan mental serta cara pemain berfikir.
Mengulas penanda aras bagi pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta Wan Arif Junaidi-Yap Roy King, beliau menegaskan sasaran kekal tinggi dengan misi memburu kejuaraan.
“Mereka berlatih setiap hari, sama juga dengan Aaron Chia-Soh Wooi Yik. Mereka juga berlatih bersama Pearly Tan-M. Thinaah serta Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, namun faktor utama yang saya lihat adalah mentaliti dan cara berfikir.
Menurut Rexy, situasi itu bukan berpunca daripada rasa takut, sebaliknya disebabkan tanggapan masih bergantung kepada pasangan utama, dan keadaan tersebut tidak boleh berterusan.
“Kalau ikut kemampuan, mereka pernah kalahkan pemain di ranking 10 terbaik dunia. Jadi potensi untuk jadi juara itu memang ada. Cuma mentaliti mereka perlu selari dengan apa yang jurulatih nampak,” katanya lagi.
Saingan BAC yang berlangsung di China dari 7 hingga 12 April menjadi medan awal buat skuad negara.
Selepas tamat kejohanan itu, skuad negara dijadual berlepas ke Denmark dua hari kemudian bagi menjalani kem latihan pusat.
Kem tersebut menjadi persiapan akhir menghadapi Piala Thomas dan Uber 2026 dari 24 April hingga 3 Mei.