
KUALA LUMPUR, 1 November – Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Pengarah Penyiaran 2026 menjadi platform persiapan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi menghadapi kejohanan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Wilayah Persekutuan (MAKSWIP) pada penghujung bulan ini.
- Kejohanan berpotensi menjadi acara tahunan; perancangan untuk penganjuran liga atau edisi tahunan tahun hadapan.
- Himpunan 10 pasukan daripada pelbagai bahagian RTM, termasuk URB, Radio All Stars FC dan Slayer FC.
- STR Kajang FC muncul juara selepas menewaskan BKP FC; pasukan juara menerima trofi, pingat, wang tunai dan hamper; hadiah disampaikan Ketua Pengarah.
Timbalan Pengarah Seksyen Produksi TV, Nasrul Hakim Md Noh berkata, selain mengeratkan hubungan dalam kalangan warga RTM, kejohanan itu akan turut mengenal pasti pemain berbakat untuk mewakili jabatan berkenaan ke MAKSWIP.
“Kita juga melaksanakan pertandingan ini bertujuan untuk MAKSWIP yang akan berlangsung pada hujung November ini. Jadi, kita akan hantar kemungkinan besar dua pasukan apabila kita dapati ramai pemain daripada RTM ini yang berbakat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Pengarah Penyiaran 2026, Muhammad Zulfaiz Mat Azlan berkata, kejohanan tersebut berpotensi dijadikan sebagai acara tahunan bagi memastikan platform sukan dan interaksi dalam kalangan warga RTM dapat dikekalkan.
“Kita merancang pada tahun hadapan mungkin kita akan buat penganjuran liga ataupun penganjuran setahun sekali untuk tahun depan,” katanya.
Kejohanan julung kali itu menghimpunkan 10 pasukan daripada pelbagai bahagian dan unit RTM, termasuk URB, Radio All Stars FC dan Slayer FC.
STR Kajang FC muncul juara selepas menewaskan BKP FC pada perlawanan akhir yang berlangsung di IWK Eco Park, Pantai Dalam.
Pasukan juara membawa pulang trofi, pingat, wang tunai RM1,000 serta hamper sumbangan penaja.
Penyampaian hadiah disampaikan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail.