KBS ajak media semarakkan momentum awal Sukan Sea 2027

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari (tiga, kanan) hadir pada Majlis Iftar Media Bersama Menteri Belia dan Sukan di Kelab Golf Negara Subang/ BERNAMA

PETALING JAYA, 27 Februari – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan kerjasama strategik bersama pengamal media menjadi antara elemen utama bagi menyemarakkan keterujaan dan minat orang ramai menjelang penganjuran Sukan SEA edisi ke -34 pada tahun hadapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • KBS tekankan kerjasama strategik dengan media untuk menyemarakkan minat orang ramai menjelang Sukan SEA 2027.
  • Media dilihat penting menyampaikan maklumat pembangunan sukan dan belia kepada masyarakat dan anak muda.
  • Hubungan kukuh antara KBS dan media perlu diperkukuh supaya mesej kementerian sampai secara berkesan.
  • Sukan SEA 2027 dijangka tonjolkan keupayaan negara mengurus temasya besar dan tingkatkan imej Malaysia sebagai hab sukan.

Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata peranan media amat signifikan dalam menyampaikan maklumat serta mesej berkaitan pembangunan sukan dan belia kepada masyarakat.

“Sekarang ini kita sudah perlu menyemarakkan bahang Sukan SEA itu sendiri kerana Malaysia akan menjadi tuan rumah pada tahun 2027. KBS akan berusaha sebaik mungkin untuk menganjurkan temasya ini dan menjadikannya antara yang terbaik,

“Rakan-rakan media adalah antara pihak yang paling penting untuk menyampaikan mesej kepada rakyat dan anak muda mengenai sukan dan belia. Hubungan baik ini perlu terus diperkukuh supaya mesej yang ingin disampaikan oleh kementerian dapat sampai kepada masyarakat secara berkesan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Media bersama Menteri Belia dan Sukan di Kelab Golf Negara Subang, di sini.

Menurut beliau, usaha memperkukuh hubungan dengan media perlu dimulakan lebih awal bagi memastikan persiapan serta perjalanan penganjuran temasya itu dapat dipromosikan secara menyeluruh kepada rakyat.

Penganjuran Sukan SEA 2027 Kuala Lumpur dijangka menjadi platform utama untuk mempamerkan keupayaan negara dalam mengurus temasya sukan besar di peringkat serantau serta mengangkat imej Malaysia sebagai hab sukan di Asia Tenggara.