
KUALA LUMPUR, 26 Jun – Kerajaan akan membawa cadangan untuk memasukkan sukan karate ke dalam kalendar rasmi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) ke mesyuarat Kabinet minggu hadapan.
- Persatuan Karate Putrajaya menyambut baik usaha lama untuk memartabatkan karate di peringkat akar umbi.
- Kemasukan karate ke MSSM akan menaikkan statusnya daripada sukan pilihan kepada sukan arus perdana setaraf bola sepak, badminton dan olahraga.
- Ia berpotensi melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi dan menjadikan karate sebahagian aktiviti sekolah.
- Edisi ke-25 kejohanan menarik hampir 2,000 atlet dari 17 negara serta mempertandingkan 102 kategori, usia lima tahun hingga veteran.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut diambil sebagai menyahut permintaan komuniti karate yang mahu seni mempertahankan diri itu diperkasakan di peringkat akar umbi menerusi sistem sukan sekolah.
“Saya akan membawa perkara ini ke mesyuarat Kabinet minggu depan bagi meminta Menteri Pendidikan mempertimbangkan kemasukan acara karate dalam kalendar MSSM. Insya-Allah, saya akan usahakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa 2026 di Stadium Titiwangsa, di sini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Karate Putrajaya, Datuk Dr Thiagu Ponniyah menyambut baik komitmen berkenaan dan menyifatkannya sebagai usaha lama komuniti karate negara.
Menurut beliau, kemasukan karate ke dalam kalendar MSSM akan mengangkat sukan itu daripada aktiviti pilihan kepada sukan arus perdana setaraf bola sepak, badminton dan olahraga.
“Ketika ini karate berada dalam kategori sukan pilihan, di mana hanya pelajar yang berminat akan menyertainya. Namun, jika dimasukkan dalam kalendar MSSM, ia akan menjadi sukan yang lebih formal di sekolah.
“Kita berpotensi melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi. Harapan kita adalah untuk melihat lebih ramai murid mempelajari seni mempertahankan diri ini sebagai sebahagian daripada aktiviti sekolah,” katanya.
Mengulas penganjuran kejohanan tahun ini, Dr Thiagu berkata edisi ke-25 itu terus membuktikan prestijnya apabila berjaya menarik hampir 2,000 atlet dari 17 negara.
“Ini merupakan edisi ke-25 kejohanan dan ramai atlet dalam skuad kebangsaan hari ini bermula dari platform ini. Ia menjadi pentas antarabangsa pertama sebelum mereka mewakili negara.
“Kita berharap lebih banyak pasukan dan peserta akan terlibat pada masa hadapan kerana di sinilah lahirnya juara-juara kebangsaan,” tambahnya.
Antara negara yang mengambil bahagian ialah Indonesia, Jordan, Bangladesh, India, Sri Lanka, Singapura, Australia, Pakistan, Thailand dan Filipina.
Kejohanan ini mempertandingkan 102 kategori, melibatkan peserta seawal usia lima tahun hingga kategori veteran mengikut umur dan berat badan.