
KUALA LUMPUR, 7 Januari – Siasatan berhubung dakwaan pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya masih berjalan, kata Polis Diraja Malaysia (PDRM).
- PDRM menjalankan siasatan dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
- 45 laporan polis diterima dan satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
- Lapan saksi termasuk wakil FAM, pengadu dan pegawai JPN telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
- Kerjasama antarabangsa seperti FIFA akan dipertimbangkan jika perlu; tiada tangkapan setakat ini.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, setakat ini sebanyak 45 laporan polis telah diterima berhubung isu berkenaan dan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Jelas beliau, seramai lapan individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut, melibatkan pengadu, wakil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan tiada sebarang tangkapan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa kerjasama dengan pihak antarabangsa termasuk Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan dipertimbangkan sekiranya terdapat keperluan bagi melengkapkan siasatan.
Siasatan masih dijalankan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada pihak media.
Kes ini disiasat susulan laporan polis yang dibuat oleh FAM di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada 24 Disember lepas, berhubung dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.