Iran fokus tundukkan Mesir, ketepikan kontroversi

Foto REUTERS

SEATTLE, 26 Jun – Iran berazam untuk mengharumkan nama negara apabila turun menentang Mesir dalam aksi penentuan peringkat kumpulan Piala Dunia, ketika peluang ke pusingan kalah mati masih terbuka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ghalenoei menegaskan pasukan kekal fokus pada perlawanan walaupun berdepan isu perjalanan dan tekanan luar padang.
  • Team Melli mencatat dua seri berturut-turut lawan Belgium dan New Zealand, memberi peluang tipis mara ke pusingan kalah mati.
  • Kekangan logistik termasuk keluar masuk AS dalam tempoh singkat menjejaskan prestasi fizikal pemain dan masalah berlepas dari Mexico.
  • FIFA baca kenyataan rasmi mengehadkan soalan, Ghalenoei masih sentuh isu sekatan; perlawanan menentang Mesir penentu kelayakan.

Ketua jurulatih Iran, Amir Ghalenoei berkata, pasukannya kekal fokus terhadap perlawanan penting itu walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk isu perjalanan dan tekanan luar padang.

Menurut beliau, skuad Team Melli berjaya mencatat dua keputusan seri berturut-turut menentang Belgium dan New Zealand, sekali gus memberi peluang tipis untuk muncul juara Kumpulan G.

Bagaimanapun, Iran terpaksa berdepan kekangan logistik apabila perlu keluar masuk Amerika Syarikat dalam tempoh singkat sebelum dan selepas perlawanan, yang sedikit sebanyak menjejaskan prestasi fizikal pemain.

Walaupun pihak berkuasa Amerika Syarikat telah melonggarkan sekatan perjalanan menjelang aksi menentang Mesir, Persekutuan Bola Sepak Iran mendakwa masih berlaku beberapa masalah ketika pasukan itu berlepas dari pangkalan mereka di Mexico.

Ghalenoei menegaskan, kebenaran untuk memasuki negara itu lebih awal sebelum perlawanan sepatutnya diberikan sejak awal lagi.

“Perkara itu adalah hak kami, dan sepatutnya kami perolehi dalam dua perlawanan sebelum ini,” katanya.

Dalam sidang media pra-perlawanan, pegawai FIFA terlebih dahulu membacakan kenyataan rasmi Persekutuan Bola Sepak Iran yang memaklumkan jurulatih itu hanya akan menjawab soalan berkaitan perlawanan menentang Mesir.

Namun, Ghalenoei tetap menyentuh isu sekatan perjalanan tanpa diajukan soalan, sebelum perbincangan turut beralih kepada keputusan penganjur tempatan yang melabelkan perlawanan itu sebagai “Perlawanan Pride” di Seattle.

Seperti rakan sejawatnya dari Mesir, Hossam Hassan, Ghalenoei menegaskan pasukannya hanya mahu memberi tumpuan penuh kepada aksi di padang.

Perlawanan Iran menentang Mesir dijangka menjadi penentu nasib kedua-dua pasukan untuk mara ke peringkat kalah mati kejohanan.-REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.