Insiden tragis tak patahkan semangat Faisal hadapi Nam Dinh FC

Faisal Halim/Foto Bernama

PETALING JAYA, 5 Mei – Hari ini menjadi detik sukar buat pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim apabila genap dua tahun insiden serangan asid yang menimpanya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tetap bertekad memberikan aksi terbaik menentang Nam Dinh FC dalam aksi separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN.
  • Mendapat kekuatan daripada sokongan rakan sepasukan, jurulatih, keluarga dan peminat; semangat serta usaha harian tetap utuh.
  • Keputusan pasukan lebih utama daripada jaringan peribadi; gesa manfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dan kerja keras.

Namun, beliau tetap bertekad untuk memberikan aksi terbaik menentang kelab Vietnam, Nam Dinh FC pada aksi pertama separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di sini esok.

Pemain berusia 28 tahun itu berkata meskipun kejadian berkenaan masih sukar untuk diterima, beliau terus mendapat kekuatan daripada sokongan rakan sepasukan, jurulatih, keluarga serta peminat dalam usaha kembali ke prestasi terbaiknya.

“Hari ini genap dua tahun insiden saya. Bukan mudah sebagai seorang individu untuk menerima apa yang berlaku. Mungkin wajah saya sudah berubah, tetapi semangat saya, keinginan untuk menjadi yang terbaik, untuk bekerja setiap hari, setiap perlawanan dan setiap sesi latihan masih sama.

“Saya sentiasa mahu memberikan yang terbaik untuk pasukan, untuk diri sendiri dan untuk kelab,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), hari ini.

Faisal turut mengakui jaringan pada perlawanan esok akan memberi makna peribadi, namun menegaskan keputusan pasukan adalah lebih penting.

“Bagi saya, saya tidak kisah sama ada menjaringkan gol atau tidak, yang paling penting adalah pasukan. Dalam perlawanan besar, kita tidak kisah siapa yang menjaringkan gol.

“Kalau saya dapat jaringan esok, ia sesuatu yang indah untuk saya, tetapi yang lebih penting adalah keputusan pasukan. Saya mahu membantu pasukan mendapatkan keputusan yang baik, membuat persiapan rapi, kekal fokus dan bermain dengan baik. Insya-Allah, kita dapat keputusan positif,” katanya.

Dalam pada itu, Faisal menggesa rakan sepasukan agar memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri, namun menegaskan kerja keras di atas padang akan menjadi penentu keputusan perlawanan.

Satu lagi perlawanan separuh akhir menyaksikan satu lagi wakil negara, Johor Darul Ta’zim FC (JDT) akan berdepan kelab Thailand, Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri esok jam 8 malam.-BERNAMA