Insiden di padang ragut nyawa De Miguel

Penyerang kelab CD Tenerife, Jesus de Miguel / Foto AFP

MADRID, 3 November – Penyerang kelab CD Tenerife, Jesus de Miguel meninggal dunia pada Selasa akibat kecederaan parah selepas bertembung dengan penjaga gol FC Andorra dalam perlawanan Liga Divisyen Dua Sepanyol.

RINGKASAN BERITA AI
  • De Miguel mengalami serangan jantung selepas pertembungan; dirawat di hospital tetapi keadaan neurologi merosot, beliau disahkan meninggal.
  • Penjaga gol FC Andorra, Jesus Owono, dilayangkan kad merah selepas berlari keluar menghalang bola; perlawanan dihentikan.
  • Beberapa kelab dan RFEF menyampaikan takziah; RFEF menangguhkan perlawanan Piala Raja dan Piala Ratu sebagai penghormatan.

Kelab Tenerife dalam satu kenyataan memaklumkan, pemain berusia 30 tahun itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8 pagi waktu tempatan selepas keadaannya semakin kritikal.

Insiden berlaku pada penghujung perlawanan di Stadium Heliodoro Rodriguez Lopez ketika kedua-dua pasukan terikat 2 sama.

De Miguel dilanggar penjaga gol Andorra, Jesus Owono yang berlari keluar dari kawasan gol untuk menghalang bola, sekali gus dilayangkan kad merah susulan insiden itu sebelum perlawanan dihentikan.

Menurut laporan media Sepanyol, De Miguel mengalami serangan jantung dan berjaya diselamatkan sebelum dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan di unit rawatan rapi. Bagaimanapun, keadaan neurologinya dilaporkan semakin merosot sebelum beliau disahkan meninggal dunia.

Berita kematian itu mengundang ucapan takziah daripada beberapa kelab bola sepak Sepanyol, termasuk Real Madrid, Barcelona dan Atletico Madrid, selain Persekutuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF).

RFEF turut menangguhkan beberapa perlawanan Piala Raja Sepanyol dan Piala Ratu Sepanyol pada Selasa sebagai tanda penghormatan dan solidariti kepada mendiang.

Bekas pemain Barcelona yang juga pemegang saham majoriti FC Andorra, Gerard Pique turut menyampaikan ucapan takziah menerusi media sosial.

De Miguel menyertai Tenerife pada musim panas 2025 dari Castellon dan membantu pasukan itu memperoleh kenaikan ke Liga Divisyen Dua Sepanyol.

Beliau memulakan kerjaya bola sepak bersama pasukan remaja Leganes sebelum mewakili beberapa kelab lain, termasuk Unionistas de Salamanca dan Castellon. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.