
Rabat, 18 Januari- Perlawanan akhir antara Senegal dengan Maghribi dalam saingan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) pada awal pagi Isnin, diharap bukan aksi terakhir Sadio Mane.
- Jurulatih Pape Thiaw mahu final AFCON mengekalkan Sadio Mane, bukan sebagai perpisahan.
- Thiaw menegaskan keputusan bersara bukan hanya hak Mane kerana pengaruh orang di sekelilingnya.
- Mane, 33, mengumumkan tidak akan bermain AFCON akan datang, menimbulkan spekulasi persaraan antarabangsa.
- Thiaw tidak bersetuju dengan keputusan emosi itu dan berharap mengekalkan Mane selama mungkin.
Jurulatih Senegal, Pape Thiaw berkata bekas bintang Liverpool itu juga tidak boleh mempertimbangkan untuk meninggalkan pasukan.
“Keputusan itu bukan lagi terpulang kepadanya. Terdapat ramai orang di sekelilingnya dan mereka berharap melihatnya terus bermain,” kata Thiaw kepada wartawan.
Terdahulu Mane, 33, mendedahkan beliau tidak akan bermain dalam Piala Negara-Negara Afrika yang seterusnya ketika membantu Senegal menewaskan Mesir, 1-0 pada Khamis.
Kenyataannya itu memberi gambaran bahawa beliau mungkin akan bersara sepenuhnya daripada bola sepak antarabangsa selepas Piala Dunia di Amerika Utara pada Jun dan Julai, ketika berusia 34 tahun.
Piala Negara-Negara Afrika seterusnya dijadualkan berlangsung pada 2027 di Kenya, Tanzania dan Uganda.
“Saya fikir dia membuat keputusannya dalam keadaan keadaan emosi dan negara tidak bersetuju. Sebagai jurulatih pasukan kebangsaan, saya langsung tidak bersetuju sama sekali.
“Kami ingin mengekalkannya selama yang mungkin.” kata Thiaw. -AFP