SHAH ALAM, 31 Oktober – Pemain muda negara, Muhd Daniel Muhd Nazari dan wakil China, Wang Enxi, masing-masing muncul juara keseluruhan lelaki dan perempuan pada Kejohanan Golf Srixon 100PLUS Remaja Antarabangsa 2025 yang melabuhkan tirainya di Kelab Golf Kota Permai (KPGCC) di sini, semalam.
Pada kejohanan berkenaan, Muhd Daniel menampilkan permainan konsisten apabila menutup saingan dengan 74 pukulan, dua di atas par bagi menjadikan jumlah keseluruhan 219 pukulan dengan tiga di atas par.
Catatan berkenaan sekali gus menobatkan Muhd Daniel sebagai juara kategori lelaki A dan juara keseluruhan lelaki.
“Ia berhasil seperti yang saya rancang semalam.
Persaingan sangat sengit dengan rakan sepasukan. Kami terikat selepas 10 lubang tetapi saya berjaya kembali di depan sehingga ke lubang terakhir.
“Kemenangan ini amat bermakna kerana ia merupakan trofi kedua saya tahun ini,” katanya yang turut berterima kasih kepada Program Pembangunan Remaja Kebangsaan (NJDP) di bawah Persatuan Golf Malaysia (MGA) atas sokongan berterusan.
“Program NJDP banyak membantu meningkatkan kemahiran dan memberi peluang beraksi di peringkat antarabangsa. Saya banyak belajar bermain bersama pemain berkualiti,” tambahnya.
Sementara itu, wakil Korea Selatan, Woosung Sun, menamatkan saingan di tempat kedua dengan 223 pukulan (tujuh di atas par), manakala seorang lagi pemain negara, Felix Gan Yong Jun, berada di tempat ketiga dengan 227 pukulan keseluruhan.
Dalam pada itu, bagi kategori Lelaki B, wakil Thailand Thitiwat Piturongkapituk dinobatkan sebagai juara dengan 225 pukulan, diikuti Muhd Afham Othman di tempat kedua (230 pukulan) dan Maru Choi dari Korea Selatan di tempat ketiga (236 pukulan).
Kategori Perempuan A pula menyaksikan pemain negara Nur Batrisyia Balqis Abdul Ghani dinobatkan juara selepas mengumpul 225 pukulan, menewaskan rakan senegara Ngo Yi Belle dan Jamie Tan Huan Ying yang berkongsi tempat kedua dan ketiga dengan 226 pukulan keseluruhan.
“Saya agak bergelut pada hari pertama kerana belum memahami selok-belok lapangan, tetapi pada hari kedua saya mula menyesuaikan diri dan lebih yakin.
“Bagi saya, aspek chipping dan putting amat penting kerana jika gagal membaca lapangan dengan baik, tekanan untuk melakukan pukulan akan meningkat,” kata Batrisyia.
Namun, Batrisyia terlepas gelaran juara keseluruhan perempuan selepas dipisahkan hanya satu pukulan di belakang juara kategori Perempuan B, Wang Enxi dari China.
Wang menutup saingan dengan 74 pukulan dan dua di atas par untuk mencatat jumlah keseluruhan 224 pukulan.
“Saya gembira dengan prestasi hari ini. Lapangan di Kota Permai sangat cantik tetapi mencabar. Saya sedikit kecewa dengan permainan pada hari kedua, namun saya berjaya memperbaikinya hari ini.
“Kemenangan ini membuktikan hasil kerja keras saya sepanjang musim,” kata Wang.
Kejohanan Golf Srixon 100PLUS Remaja Antarabangsa 2025 terus menjadi platform penting dalam mencungkil bakat muda dari pelbagai negara Asia, termasuk Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan China, dalam usaha melahirkan generasi pelapis golf profesional masa depan.