
CAIRO, 18 Mac – Pasukan kebangsaan Maghribi secara rasmi diisytiharkan sebagai juara Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2026 selepas badan rayuan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) membatalkan kemenangan Senegal dalam perlawanan akhir yang penuh kontroversi pada Januari lalu.
- Pemain Senegal meninggalkan padang protes penalti, kembali selepas rundingan 20 minit, perlawanan selesai 1-0 masa tambahan.
- CAF memutuskan tindakan mogok melanggar Artikel 82 dan 84; pasukan yang tinggalkan padang dianggap kalah automatik.
- FSF kecewa, anggap keputusan tidak adil dan akan buat rayuan rasmi ke Mahkamah Timbang Tara Sukan CAS di Switzerland.
Keputusan tersebut memberikan kemenangan teknikal 3-0 buat Maghribi.
Langkah itu diambil selepas CAF meneliti laporan aksi final di Rabat pada 18 Januari yang menyaksikan pemain-permainan Senegal bertindak meninggalkan padang sebagai tanda protes terhadap keputusan pengadil memberikan sepakan penalti kepada Maghribi pada penghujung masa kecederaan.
Skuad kendalian Pape Bouna Thiaw hanya kembali ke padang selepas rundingan selama 20 minit dan memenangi perlawanan itu 1-0 pada masa tambahan.
Bagaimanapun CAF memutuskan tindakan tersebut telah melanggar Artikel 82 dan 84 peraturan pertandingan.
Menurut peraturan tersebut, mana-mana pasukan yang enggan meneruskan permainan atau meninggalkan padang tanpa kebenaran pengadil sebelum tamat tempoh perlawanan dianggap kalah secara automatik.
Susulan pengumuman itu, Persekutuan Bola Sepak Diraja Maghribi (FRMF) menyambut baik keputusan berkenaan yang menyifatkannya sebagai penegasan terhadap integriti peraturan kejohanan.
Ini merupakan gelaran AFCON kedua buat Maghribi dalam sejarah selepas kali terakhir memenanginya pada 1976.
Dalam pada itu, Persekutuan Bola Sepak Senegal (FSF) melahirkan rasa kecewa dan menyifatkan tindakan CAF sebagai tidak adil serta bercanggah dengan semangat kesukanan memandangkan perlawanan telah diselesaikan sepenuhnya di atas padang.
FSF turut mengesahkan akan memfailkan rayuan rasmi kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland dalam tempoh terdekat bagi mencabar keputusan tersebut dan menuntut semula kejuaraan mereka.-REUTERS