
JEDAH, 12 Januari – Ketua jurulatih Barcelona, Hansi Flick, memuji semangat dan kekuatan mental Raphinha selepas penyerang itu menjaringkan dua gol untuk membantu pasukannya menewaskan Real Madrid sekali gus mempertahankan kejuaraan Piala Super Sepanyol pada Ahad.
- Flick memuji kekuatan mental Raphinha selepas dua gol penting menewaskan Real Madrid dalam final Piala Super Sepanyol.
- Raphinha kini mengumpul tujuh gol dalam lima perlawanan terakhir selepas pulih dari kecederaan hampir dua bulan.
- Gol kemenangan Raphinha datang dari luar kotak penalti ketika kedudukan terikat 2-2 memberikan keyakinan kepada pasukan.
- Barca kini mencatat kemenangan ke-10 berturut-turut dan Flick yakin pasukan berada dalam mood baik mencapai sasaran musim ini.
Pemain sayap Brazil itu kini mengumpul tujuh gol dalam lima perlawanan terakhirnya, termasuk dua gol ketika Barca menewaskan Real Madrid 3-2 di Arab Saudi.
Raphinha sebelum ini berehat hampir dua bulan akibat kecederaan ketika prestasi Barcelona merudum pada Oktober dan November. Namun kembali dengan prestasi cemerlang.
“Kekuatan mentalnya sangat luar biasa, energinya memberi kesan kepada seluruh pasukan”, kata Flick.
Pada perlawanan akhir itu, Raphinha terlepas satu peluang terbaik pada babak pertama, namun meledak gol pembukaan tidak lama selepas itu.
Ketika kedudukan terikat 2-2, pemain berusia 29 tahun itu menjaringkan gol kemenangan dari luar kotak penalti.
“Dia terlepas peluang pertama, tetapi peluang kedua dia berjaya dan menjaringkan gol pertama, dan itu memberikan lebih keyakinan kepada pasukan”, ujar Flick.
“Inilah yang Raphinha bawa di atas padang. Intensiti tinggi, dan kami sangat memerlukannya”, tambah bekas jurulatih kebangsaan Jerman itu.
Musim lalu, Barcelona turut menewaskan Real Madrid dalam perlawanan akhir Piala Super Sepanyol ketika mereka meraih kejuaraan treble.
Flick berkata kemenangan kali ini diharap dapat membantu pendahulu La Liga itu mencapai sasaran lain musim ini.
“Kami berada dalam mood yang baik, dan kini kami sangat yakin.”kata Flick selepas kemenangan ke-10 berturut-turut Barca dalam semua pertandingan.
Flick kini memenangi kesemua lapan perlawanan akhir, termasuk dua menentang Real Madrid musim lalu.
“Apabila kami fokus dan bermain seperti hari ini, saya benar-benar yakin dengan pasukan kerana itu sangat penting”, ” tambahnya.
Dalam aksi akhir itu, Flick turut menurunkan pertahanan Ronald Araujo menjelang penghujung permainan, selepas pemain Uruguay itu berehat sekitar sebulan disebabkan masalah kesihatan mental. -AFP