
KUALA LUMPUR, 6 Jun – Majlis Jawatankuasa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menegaskan semula kepentingan aspek disiplin, profesionalisme, serta akauntabiliti sebagai teras utama dalam memperkukuh hala tuju skuad kebangsaan.
- Disiplin, profesionalisme dan akauntabiliti diperkukuh sebagai teras utama untuk perbaiki mentaliti dan hala tuju skuad kebangsaan.
- Semua pemain kebangsaan diwajibkan menetap di asrama ABM kecuali yang sudah berkahwin; enggan tanpa alasan munasabah dilarang sertai kejohanan antarabangsa.
- Pelanggaran disiplin dikesan dalam skuad senior dan junior; pemain tidak hadir kejohanan mungkin sedang dikenakan tindakan disiplin.
- BAM memberi amaran tindakan drastik termasuk pengguguran bagi pemain yang gagal berubah atau mengulangi kesalahan, walaupun majoriti menerima ketetapan.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ketetapan itu dianggap kritikal bagi memastikan setiap pemain memiliki mentaliti yang tepat demi kelangsungan serta pembangunan sukan badminton negara ke tahap lebih tinggi.
Menurut beliau, isu pelanggaran disiplin yang dikenal pasti setakat ini melibatkan pemain daripada kedua-dua kategori, iaitu skuad senior dan junior.
“Bagaimanapun, jika boleh kita tidak mahu mendedahkan nama mereka, tetapi kalau pemain terlibat tidak muncul dalam kejohanan, mungkin tindakan sedang diambil terhadap mereka,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM di ibu negara.
Antara langkah tegas yang diputuskan adalah mewajibkan semua pemain kebangsaan untuk menetap di asrama Akademi Badminton Malaysia (ABM), kecuali bagi mereka yang sudah berkahwin.
Pemain yang enggan mematuhi arahan tersebut tanpa alasan munasabah tidak akan dibenarkan menyertai sebarang kejohanan antarabangsa bagi mewakili badan induk berkenaan.
Mengulas mengenai reaksi pemain, Tengku Datuk Seri Zafrul menjelaskan bahawa majoriti pemain menyambut baik ketetapan tersebut, meskipun terdapat segelintir kecil yang menyatakan rasa tidak setuju.
“Hanya dua atau tiga pemain sahaja yang tidak setuju atas sebab tertentu, namun selepas diteliti, alasan yang diberikan tidak cukup kuat. Jika tiada isu kukuh seperti masalah perubatan atau keperluan menjaga ibu bapa yang sakit, mereka wajib kembali ke asrama,” tegas beliau.
BAM turut memberi amaran tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan drastik dengan menggugurkan mana-mana pemain daripada skuad kebangsaan sekiranya gagal menunjukkan perubahan sikap atau mengulangi kesalahan yang sama pada masa akan datang.