Cklamovski kekal komited bawa Harimau Malaya ke Piala Dunia

Peter Cklamovski

KUALA LUMPUR, 23 Mac– Di sebalik kegagalan melayakkan diri ke Piala Asia 2027, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan misi beliau bersama skuad kebangsaan masih belum berakhir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cklamovski tetap komited dan menganggap tugas mengendalikan Harimau Malaya sebagai amanah besar yang perlu diselesaikan.
  • Beliau menggesa pemain tidak berlarut dalam kekecewaan, sebaliknya menjadikan episod ini sebagai titik kebangkitan.
  • Skuad akan berlatih intensif di Bangkok kemudian berlepas ke Nam Dinh untuk menampilkan prestasi membanggakan lawan Vietnam, 31 Mac.

Pengendali kelahiran Australia itu menyifatkan kegagalan tersebut sebagai tamparan hebat, namun menegaskan ia bukan penamat kepada pelan jangka panjang untuk membawa Malaysia ke pentas Piala Dunia FIFA.

Menurutnya, impian ke Piala Asia sepatutnya menjadi milik Harimau Malaya, namun beliau mendakwa peluang tersebut “dirampas” oleh faktor di luar kawalan yang mencetuskan kekecewaan besar dalam kem negara.

“Saya telah jatuh cinta dengan negara ini dan Harimau Malaya. Kira-kira 12 bulan lalu, saya berkongsi visi jangka panjang untuk membawa Malaysia ke Piala Dunia. Itu tetap impian kami. Walaupun banyak kerja perlu dilakukan, matlamat tersebut tidak berubah dan saya tidak mempunyai sebarang penyesalan.”

“Saya juga ada bercakap mengenai sasaran jangka pendek untuk layak ke Piala Asia. Malangnya, peluang itu dirampas daripada kami akibat faktor di luar kawalan bola sepak. Ia sukar diterima dan amat mengecewakan, tetapi ia tidak mengubah visi jangka panjang saya,” katanya.

Cklamovski turut menegaskan komitmen penuhnya terhadap bola sepak Malaysia dan menganggap tanggungjawab mengendalikan skuad negara sebagai amanah besar yang perlu diselesaikan.

Beliau dalam masa sama mengingatkan barisan pemain agar tidak terus terperangkap dalam kekecewaan, sebaliknya menjadikan episod ini sebagai titik kebangkitan.

Skuad Harimau Malaya kini berdepan misi menutup kempen kelayakan dengan bermaruah apabila dijadualkan menentang Vietnam di Stadium Thien Truong, 31 Mac ini.

Sebagai persiapan, pasukan negara akan menjalani latihan intensif di Bangkok sebelum berlepas ke Nam Dinh, dengan fokus untuk membuktikan kekuatan sebenar Harimau Malaya masih belum pudar meskipun sedang dilanda krisis.