
BUKIT JALIL, 21 MEI – Beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei menepati ramalan apabila melangkah ke suku akhir Perodua Malaysia Masters 2026 selepas menewaskan pasangan Indonesia, Amri Syahnawi dan Nita Violina Marwah, menerusi kemenangan straight set dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung di Arena Unifi, petang tadi.
- Mereka kawal tekanan melawan pasangan ranking ke-16 dunia, memenangi set pertama 21-19.
- Walaupun ketinggalan pertengahan set kedua, mereka kekal tenang dan menang 22-20 selepas aksi matang.
- Jurulatih tekankan karakter; mereka akan buat persiapan rapi menyambut suku akhir menentang pasangan muda China.
Dalam perlawanan itu, pasangan negara yang menghuni ranking keempat dunia menerima tentangan hebat daripada gandingan ranking ke-16 dunia, namun berjaya mengawal tekanan untuk memenangi set pertama 21-19.
Pada set kedua, pasangan lawan bangkit memberi saingan apabila Chen-Tang Jie dan Toh Ee Wei ketinggalan di pertengahan permainan, sekali gus hampir diheret ke set penentuan.
Namun, Chen -Toh kekal tenang dengan mempamerkan aksi matang untuki melengkapkan kemenangan set kedua, 22-20.
Mengulas kemenangan itu, Chen Tang Jie berkata mereka tidak terlalu memikirkan jumlah set atau tekanan skor, sebaliknya lebih fokus kepada usaha mengubah tempo permainan dan memecahkan rentak lawan.
“Kami hanya memikirkan cara untuk mematahkan rentak permainan lawan dan mencipta situasi yang boleh memberi tekanan kepada mereka. Kami cuba kekal fokus tanpa terlalu memikirkan kedudukan set. Yang penting ialah bagaimana kami mengatasi situasi di gelanggang,” katanya.
Sementara itu, Toh Ee Wei menyifatkan prestasi mereka berada pada tahap stabil dari sudut mental walaupun berdepan aksi sengit serta tekanan sebagai wakil tuan rumah.
“Jurulatih juga sentiasa menekankan aspek karakter di dalam gelanggang dan mengingatkan kami supaya tidak mudah berputus asa walaupun ketika ketinggalan,” jelasnya.
Kemenangan itu membuka laluan ke suku akhir yang dijangka lebih mencabar apabila mereka bakal menentang pasangan muda China, Gao Jia Xuan dan Wei Ya Xin.
“Kami akan pulang dan membuat persiapan untuk perlawanan esok. Setiap perlawanan selepas ini dijangka lebih sukar, jadi kami perlu tampil dengan persiapan yang lebih rapi,” kata mereka.
Sementara itu, satu lagi wakil beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat dan Shevon Lai gagal melangkah ke saingan seterusnya selepas tewas kepada pasangan Taipei, Wu Guan Xun dan Lee Chia Hsin, 21-19, 7-21, 21-19.