Chelsea belasah Port Vale 7-0, tempah tiket separuh akhir

Pemain Chelsea, Estevao menjaringkan gol keenam untuk pasukannya dalam aksi suku akhir Piala FA menentang Port Vale di Stamford Bridge./foto AFP

LONDON, 5 April – Chelsea mempamerkan kualiti sebenar sebagai gergasi Liga Perdana Inggeris apabila membelasah kelab kerdil, Port Vale 7-0 dalam aksi suku akhir Piala FA di Stamford Bridge.

RINGKASAN BERITA AI
  • Chelsea melayakkan diri ke separuh akhir Piala FA, menunjukkan kebangkitan selepas tempoh sukar.
  • Gol awal oleh Jorrel Hato dan Joao Pedro memberi tuan rumah kelebihan menjelang rehat.
  • Jordan Lawrence-Gabriel tertolak bola ke gawang sendiri, menambah tekanan kepada lawan.
  • Cole Palmer, kali pertama sebagai kapten, dipuji Rosenior kerana kepimpinan dan pengaruh di tengah padang.

Pesta gol tersebut bukan sahaja melayakkan The Blues ke pusingan separuh akhir malah membuktikan keupayaan skuad bimbingan Liam Rosenior selepas mengharungi tempoh sukar sebelum ini.

Dalam aksi tersebut, Chelsea tidak menunggu lama untuk menguasai perlawanan apabila Jorrel Hato dan Joao Pedro meletakkan tuan rumah selesa di hadapan pada babak pertama.

Tekanan berterusan menyaksikan pertahanan Port Vale, Jordan Lawrence-Gabriel, tertolak bola ke gawang sendiri bagi melengkapkan kedudukan 3-0 sebelum rehat.

Memasuki babak kedua, jentera serangan Chelsea terus memburu gol menerusi jaringan Tosin Adarabioyo, Andrey Santos, Estevao Willian, sebelum Alejandro Garnacho melengkapkan kemenangan The Blues dengan gol ketujuh.

Dalam pada itu, pemain Chelsea, Cole Palmer yang diberikan tanggungjawab sebagai kapten pasukan buat kali pertama berjaya melaksanakan tugas dengan baik.

Pengurus Chelsea, Rosenior turut memuji bintang muda England itu yang membuktikan kewibawaannya mengemudikan bahagian tengah secara efektif.

“Cole memimpin pasukan dengan cukup megah hari ini. Beliau menunjukkan keberanian dan sentiasa positif, yang merupakan identiti sebenar pasukan yang saya mahukan,” kata Rosenior selepas perlawanan. – AFP