BTR Games Fest 2026 erat silaturahim belia Bandar Tun Razak

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) bersama peserta BTR Games Fest / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Penganjuran BTR Games Fest 2026 berjaya menghimpunkan golongan belia di Bandar Tun Razak dan sekitar Kuala Lumpur menerusi aktiviti sukan yang menggalakkan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan komuniti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program menggalakkan penglibatan belia 18 hingga 35 tahun, dengan penyertaan penuh, fokus gaya hidup sihat dan mengeratkan silaturahim.
  • Pertandingan empat acara: bola jaring, penalti, bola sepak jalanan dan e-sukan Mobile Legends menarik penyertaan aktif.
  • Kerajaan luluskan RM300,000 untuk baik pulih Stadium Mini Seri Permaisuri bagi meningkatkan kemudahan sukan komuniti.

Temasya anjuran pertubuhan komuniti, Kita BTR itu, mempertandingkan empat acara iaitu bola jaring, sepak penalti, bola sepak jalanan dan e-sukan Mobile Legends.

Pengerusi Kita BTR merangkap Pengarah Program BTR Games Fest 2026, Wan Nur Aishah Ahmad Fazli berkata, program itu dirancang untuk menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti yang sihat dan bermanfaat.

“Sasaran kita adalah golongan belia berusia 18 hingga 35 tahun dan Alhamdulillah, kita menerima penyertaan penuh bagi setiap sukan yang dianjurkan.

“Matlamat utama program ini adalah untuk menghimpunkan belia, mengeratkan silaturahim, saling mengenali serta mempromosikan gaya hidup sihat,” katanya ketika perasmian program yang disempurnakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Dr Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri, turut mengumumkan kelulusan peruntukan RM300,000 bagi kerja baik pulih dan penambahbaikan Stadium Mini Seri Permaisuri.

Peruntukan itu bertujuan meningkatkan kemudahan sukan untuk kegunaan komuniti setempat.

Datuk Seri Dr Wan Azizah turut memuji inisiatif Kita BTR dan berharap BTR Games Fest dapat dijadikan acara tahunan bagi melahirkan golongan belia yang berdaya saing, berdisiplin dan mempunyai semangat kepimpinan.

Katanya, program seperti itu penting dalam membina komuniti belia yang lebih kukuh dan progresif.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.