
PHILADELPHIA, 20 Jun – Brazil menghidupkan kembali kempen Piala Dunia mereka selepas menewaskan Haiti 3-0 dalam aksi Kumpulan C, sekali gus semakin hampir untuk mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik.
- Matheus Cunha meledak dua gol; Vinicius Junior menambah satu gol sebelum rehat, memberikan prestasi serangan lebih meyakinkan.
- Selepas dikecam akibat seri 1-1 menentang Maghribi, pasukan Carlo Ancelotti menunjukkan penguasaan permainan sejak awal.
- Haiti buat penampilan Piala Dunia pertama sejak 1974 dan menjadi pasukan pertama tersingkir selepas dua kekalahan berturut-turut.
Selepas dikritik susulan keputusan seri 1-1 menentang Maghribi dalam perlawanan pembukaan, skuad kendalian Carlo Ancelotti tampil lebih meyakinkan dan menguasai permainan sejak awal.
Matheus Cunha, muncul wira Brazil apabila meledak dua gol, manakala Vinicius Junior menambah satu lagi jaringan sebelum tamat babak pertama.
Cunha membuka tirai jaringan pada minit ke-23 sebelum menggandakan kelebihan Brazil menerusi penyudah kemas hasil gandingan bersama Vinicius. Vinicius kemudian mencetak gol ketiga menjelang rehat untuk memastikan Brazil selesa mendahului 3-0.
Haiti, yang membuat penampilan pertama di Piala Dunia sejak 1974, gagal memberi saingan bermakna dan menjadi pasukan pertama tersingkir daripada kejohanan kali ini selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut.
Brazil kini mendahului Kumpulan C menerusi kelebihan perbezaan gol ke atas Maghribi akan menentang Scotland dalam perlawanan terakhir Kumpulan C mereka di Miami pada 24 Jun.
Walaupun Neymar masih belum bersama skuad kerana kecederaan betis, Brazil tetap mempamerkan aksi mantap dengan merekodkan kemenangan pertama.-AFP