
KUALA LUMPUR, 2 JULAI – Kejohanan ragbi berprestij, Johor 7s 2026 kembali membuka tirai dengan menghimpunkan 24 pasukan dari empat negara yang akan berentap di Stadium Ragbi Johor, Mount Austin bermula esok hingga 5 Julai ini.
- Kejohanan edisi kesembilan melibatkan 16 pasukan lelaki dan lapan pasukan wanita dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand.
- Juara bertahan Singapore Development kembali, dijangka menerima tentangan pasukan seperti Bunga Raya 7s Development, Iskandar Raiders, Johor Barbarian, SSTMI Tsunami, UTM Pirates.
- Penyertaan antarabangsa turut mencuri tumpuan dengan pasukan seperti DKI Jakarta, All For One dan Thaksin University dari Thailand.
- Menjadi platform penting pembangunan ragbi di akar umbi dan elit; keseluruhan hadiah RM12,000, juara lelaki RM5,000, wanita RM3,000.
Kesatuan Ragbi Negeri Johor dalam kenyataan memaklumkan, kejohanan edisi kesembilan itu melibatkan penyertaan 16 pasukan lelaki dan lapan pasukan wanita dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand, sekali gus mengukuhkan kedudukan Johor 7s sebagai antara kejohanan ragbi sevens paling kompetitif di rantau ini.
Bagi kategori lelaki, juara bertahan Singapore Development kembali dengan misi mempertahankan kejuaraan, namun dijangka menerima tentangan sengit daripada Bunga Raya 7s Development selain pasukan tuan rumah seperti Iskandar Raiders, Johor Barbarian, SSTMI Tsunami dan UTM Pirates.
Turut mencuri tumpuan ialah penyertaan pasukan antarabangsa termasuk DKI Jakarta dari Indonesia serta All For One dan Thaksin University dari Thailand, manakala kategori wanita turut menampilkan persaingan membabitkan pasukan dari Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Presiden Kesatuan Ragbi Johor, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata Johor 7s bukan sekadar kejohanan kompetitif, malah menjadi platform penting dalam pembangunan ragbi di peringkat akar umbi dan elit.
“Johor 7s bukan sekadar sebuah kejohanan ragbi tetapi platform penting untuk pembangunan sukan ini di peringkat akar umbi dan elit. Ia bukan sekadar sukan tetapi objektif utama kami adalah untuk merakyatkan sukan ragbi di negeri Johor,” katanya.
Tambah beliau, penyertaan pasukan dari empat negara membuktikan Johor 7s terus berkembang sebagai kejohanan yang kompetitif dan dihormati di rantau ini.
“Penyertaan pasukan dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand menunjukkan Johor 7s semakin berkembang sebagai kejohanan yang kompetitif dan dihormati di rantau ini. Kami menjangkakan aksi yang sengit sepanjang tiga hari kejohanan,” ujarnya.
Sebanyak RM12,000 ditawarkan sebagai hadiah keseluruhan, dengan juara kategori lelaki membawa pulang RM5,000 manakala juara kategori wanita menerima RM3,000.