
KUALA PERLIS, 2 Februari – Sebanyak 20 pasukan menyertai Karnival Sukan Sekretariat Rakan Muda Institusi Pengajian Tinggi (SRM IPT) 2026 yang mempertandingkan empat acara iaitu Liga Penalti Bola Sepak, Bola Jaring, Sukan Rakyat dan Tarik Tali.
- Karnival Sukan SRM IPT 2026 memupuk jaringan sosial antara pelajar IPT awam dan swasta melalui pertandingan sukan.
- Program menggalakkan gaya hidup aktif, pembudayaan sukan dan peluang latihan pengurusan kepada mahasiswa.
- Juara acara utama: IKBN Kuala Perlis (Tarik Tali), IKTBN Bachok (Liga Penalti), UniMAP A (Sukan Rakyat), Newton (Bola Jaring).
Program berlangsung di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis.
Menurut Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar IKBN Kuala Perlis, Aqilah Rozali, penganjuran karnival berkenaan menjadi platform kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk memperluas jaringan kerjasama sosial antara institusi.
Beliau berkata, inisiatif tersebut turut menggalakkan pembudayaan sukan sebagai sebahagian daripada gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan pelajar IPT, selain memberi peluang kepada mahasiswa terlibat dalam pengurusan sesebuah program.
“Penyertaan dalam kalangan mahasiswa berupaya menerapkan nilai-nilai positif berkaitan sukan seperti semangat kesukanan, disiplin dan kerjasama,” katanya dalam kenyataan.
Karnival Sukan SRM IPT 2026 dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Rakan Muda), Jabatan Belia dan Sukan Negara, Azura Sarbin.
Pada kemuncak karnival, Sekretariat Rakan Muda IKBN Kuala Perlis muncul juara acara Tarik Tali, manakala Sekretariat Rakan Muda IKTBN Bachok menjuarai Liga Penalti Bola Sepak.
Sementara itu, acara Sukan Rakyat diungguli Sekretariat Rakan Muda UniMAP A, manakala Sekretariat Rakan Muda Kolej Antarabangsa Newton muncul juara acara Bola Jaring.
