10 warga UiTM galas cabaran ke Kejohanan Woodball Dunia, Terbuka Malaysia

Foto RTM

ARAU, 17 Julai – Seramai 10 kakitangan dan mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dipilih menggalas cabaran negeri dan negara pada Kejohanan Woodball Piala Dunia Ke-10 serta Kejohanan Woodball Terbuka Malaysia Antarabangsa Ke-26, bermula 24 Julai ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Delegasi UiTM Perlis sebahagian daripada 48 pemain mewakili negeri dan negara, bersaing dengan lebih 300 peserta dari 18 negara.
  • Penyertaan mencerminkan komitmen, disiplin dan kecemerlangan pasukan Woodball UiTM Cawangan Perlis dalam arena sukan.
  • Warga UiTM mendoakan atlet mempamerkan aksi terbaik, mengekalkan semangat kesukanan dan mengharumkan nama Malaysia, Perlis dan universiti.
  • Kejohanan sebagai platform mengeratkan hubungan antarabangsa dan mempromosi Perlis sebagai destinasi pelancongan dan sukan bertaraf dunia.

Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor berkata, daripada jumlah tersebut, dua pemain akan beraksi dalam saingan Piala Dunia, manakala lapan lagi akan bersaing pada kejohanan terbuka antarabangsa berkenaan.

Beliau berkata, delegasi UiTM itu merupakan sebahagian daripada 48 pemain yang akan membawa cabaran negeri dan negara untuk bersaing dengan lebih 300 peserta terbaik dunia dari 18 negara serta enam pasukan negeri.

“Penyertaan ini mencerminkan komitmen, disiplin dan kecemerlangan pasukan Woodball UiTM Cawangan Perlis dalam arena sukan, sekali gus mengangkat nama universiti dan negeri Perlis di pentas pertandingan.

“Seluruh warga UiTM Cawangan Perlis mendoakan agar para atlet mempamerkan aksi terbaik, menjunjung semangat kesukanan yang tinggi serta berjaya mengharumkan nama Malaysia, Perlis dan UiTM,” katanya ketika meninjau persiapan pasukan itu di Laman Woodball, Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Alam Pauh Putra, di sini hari ini.

Kejohanan yang bakal berlangsung di UniMAP itu disifatkan bukan sekadar pentas pertandingan, malah menjadi platform terbaik dalam memperkukuh hubungan antarabangsa melalui sukan, selain mempromosikan Perlis sebagai destinasi pelancongan dan sukan bertaraf dunia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.