
KUALA KANGSAR, 28 November – Seorang lelaki berusia 26 tahun yang dilaporkan hilang ditemukan maut dipercayai dibunuh di Kampung Teratai, Tanah Merah, di sini, semalam (Jumaat).
- Mangsa dilaporkan hilang oleh seorang rakan sebelum polis menjalankan siasatan untuk mengesannya.
- Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat; soal siasat membawa kepada penemuan mayat dan sebilah pisau yang disyaki digunakan.
- Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Heisham Harun berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa pada 26 November lalu, kira-kira pukul
10.39 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang oleh seorang rakan sebelum siasatan dijalankan bagi mengesannya.
“Pada 27 November, kira-kira pukul 4.30 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Kangsar telah menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan”, katanya dalam kenyataan.
Hasil soal siasat membawa kepada penemuan mayat mangsa di Kampung Teratai,Tanah Merah, Kuala Kangsar pada hari yang sama.
Ujarnya, polis turut menemukan sebilah pisau yang disyaki digunakan dalam kejadian itu.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.