Kerajaan perkukuh kerjasama GLC, GLIC perluas perlindungan sosial

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 28 November –Kerajaan terus memperkukuh kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi memperluas jaringan perlindungan sosial, meningkatkan peluang ekonomi serta menaikkan taraf hidup komuniti rentan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif GDRN berkembang daripada bantuan bencana kepada platform menyeluruh bagi menyokong pembangunan sosial dan ekonomi negara.
  • GEAR-uP menggembleng sumber serta kepakaran institusi berkaitan kerajaan secara lebih bersepadu.
  • Tiga keutamaan merangkumi ekonomi penjagaan dan kesejahteraan komuniti, peluasan peluang meningkatkan taraf hidup serta daya tahan komuniti dan kelestarian alam sekitar.
  • Kerajaan meneruskan geran padanan RM100 juta di bawah Belanjawan 2027, manakala CIMB memperuntukkan RM150 juta bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pendekatan itu dilaksanakan menerusi inisiatif GLC dan GLIC Demi Rakyat dan Negara (GDRN), yang berkembang daripada usaha membantu mangsa bencana khususnya banjir kepada platform lebih menyeluruh dalam menyokong pembangunan sosial dan ekonomi negara.

“Pembangunan komuniti hanya dapat dilaksanakan apabila pelbagai pihak berganding bahu dengan matlamat sama. Semangat inilah menjadi asas kerjasama kerajaan dengan GLC dan GLIC melalui inisiatif GLC dan GLIC Demi Rakyat dan Negara (GDRN).

“Inisiatif ini bermula sebagai usaha ketika berdepan bencana khususnya banjir dan kini berkembang menjadi platform lebih menyeluruh dalam menyokong pembangunan sosial dan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Komitmen Impak Sosial CIMB 2026–2030 di sini, hari ini.

Menurut Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berdasarkan laporan Yayasan Hasanah 2025, ahli GDRN telah menyalurkan RM357.85 juta menerusi pelbagai program bantuan bencana, kesejahteraan komuniti dan pendidikan yang memberi manfaat kepada lebih 1.33 juta rakyat Malaysia di seluruh Semenanjung.

Beliau berkata, kejayaan itu menjadi asas kepada pelaksanaan Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP), yang menggembleng sumber serta kepakaran institusi berkaitan kerajaan secara lebih bersepadu.

Katanya, agenda itu turut memberi penekanan kepada usaha memperkukuh jaringan perlindungan sosial, memperluas akses kepada peluang ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya golongan rentan, selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI.

Jelasnya, kerajaan memberi tumpuan kepada tiga bidang keutamaan yang mampu membawa impak jangka panjang, merangkumi ekonomi penjagaan dan kesejahteraan komuniti, peluasan peluang meningkatkan taraf hidup serta pengukuhan daya tahan komuniti dan kelestarian alam sekitar.

Fokus pertama adalah memperkukuh ekonomi penjagaan dan kesejahteraan komuniti melalui akses yang lebih baik kepada penjagaan kanak-kanak, sokongan kepada orang kurang upaya (OKU), kesihatan komuniti serta penjagaan warga emas yang tidak hanya meningkatkan kualiti hidup rakyat, malah mengalakkan penyertaan ekonomi dan produktiviti tenaga kerja rakyat.

“Kedua, memperluas peluang meningkatkan taraf hidup melalui pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), keusahawanan dan peluang pekerjaan bagi membangunkan kemahiran, membina kerjaya serta meningkatkan kedudukan ekonomi mereka.

“Aspek ketiga pula memperkukuh daya tahan komuniti dan kelestarian alam sekitar. Dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi, kita perlu memastikan komuniti terus berdaya tahan dan sumber alam yang kita warisi dapat dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata inisiatif geran padanan di bawah agenda Menaikkan Lantai telah melibatkan peruntukan RM108 juta bagi 108 program yang memberi manfaat kepada lebih 441,000 penerima.

Sehubungan itu, kerajaan meneruskan inisiatif geran padanan berjumlah RM100 juta di bawah Belanjawan 2027 bagi memperluas jangkauan dan meningkatkan impak program pembangunan komuniti.

Beliau turut menyambut baik komitmen CIMB berjumlah RM150 juta bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang menyasarkan manfaat kepada 150,000 penerima di Malaysia, selaras dengan usaha memperkukuh pembangunan sosial dan ekonomi negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.