PRN Sarawak: Premier menang tanpa bertanding di DUN Gedong

Tan Sri Abang Johari / Foto BERNAMA

GEDONG, 28 November – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berjaya mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong selepas menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kepercayaan rakyat kepada beliau dan GPS menjadi dorongan untuk meneruskan agenda pembangunan negeri.
  • Kestabilan politik penting bagi memastikan dasar pembangunan dilaksanakan dengan lancar.
  • Dasar pembangunan dan kestabilan dijangka menarik pelaburan serta meningkatkan ekonomi Sarawak.
  • Beliau berterima kasih kepada rakan dalam Kerajaan Perpaduan yang tidak meletakkan calon di Sarawak.

Kemenangan itu membolehkan beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan bagi penggal kedua.

Mengulas kemenangan itu, Tan Sri Abang Johari menyifatkan kepercayaan yang diberikan kepada beliau dan GPS sebagai dorongan untuk meneruskan agenda pembangunan negeri.

Menurutnya, kestabilan politik penting bagi memastikan pelaksanaan dasar pembangunan berjalan lancar, selain menarik pelaburan dan meningkatkan ekonomi Sarawak.

“Alhamdulillah, nampaknya majoriti mahukan pembangunan yang diusahakan, khususnya di Sarawak.

“Dengan adanya dasar pembangunan dan kestabilan ini, sudah tentu ia dapat menarik minat pelabur luar dan juga rakyat Sarawak sendiri untuk meningkatkan ekonomi dan masa depan.

“Saya juga ucap terima kasih kepada rakan dalam Kerajaan Perpaduan yang tidak meletakkan calon di Sarawak. Ini mencerminkan kebersamaan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri,” katanya.

Beliau ditemui pemberita di Pusat Penamaan Calon DUN berkenaan di Dewan Masyarakat Gedong, di sini.

Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Gedong, Jamain Wahab mengumumkan kemenangan tersebut pada pukul 10.05 pagi selepas tiada pencalonan lain diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang proses penamaan calon selama sejam mulai pukul 9.00 pagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.