
KUWAIT, 26 November – Sekurang-kurangnya empat individu cedera selepas sistem pertahanan udara Kuwait memintas dron Iran yang menyasarkan sebuah kemudahan penting di negara itu pada Khamis.
- Semua mangsa dibawa ke hospital, manakala kejadian turut menyebabkan kerosakan material yang tidak diperincikan.
- Kementerian Pertahanan Kuwait tidak mendedahkan jenis atau lokasi kemudahan yang menjadi sasaran.
- Ketegangan serantau berterusan, dengan AS dan Iran berdepan pertikaian mengenai Selat Hormuz.
Kementerian Pertahanan Kuwait dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa serpihan dron yang dipintas itu jatuh dan mencederakan empat individu berkenaan.
Menurut kenyataan itu, semua mangsa telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala kejadian berkenaan turut mengakibatkan kerosakan material yang tidak diperincikan.
Bagaimanapun, kementerian tidak mendedahkan jenis atau lokasi kemudahan yang menjadi sasaran serangan berkenaan.
Insiden itu berlaku beberapa hari selepas Kuwait mengaktifkan sistem pertahanan udaranya minggu lalu bagi memintas serangan dron yang dilancarkan Iran, iaitu serangan pertama seumpamanya sejak awal September.
Konflik yang bermula susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran pada akhir Februari itu menyaksikan negara-negara Teluk turut terheret dalam ketegangan berkenaan apabila kemudahan ketenteraan AS dan infrastruktur tenaga di wilayah mereka menjadi sasaran.
Sementara itu, AS dan Iran terus berdepan ketegangan berhubung Selat Hormuz, laluan strategik bagi perdagangan minyak dunia.
Tentera AS dilaporkan sedang berusaha mengiringi kapal-kapal yang melalui laluan perairan itu, sekali gus mencabar tindakan Tehran yang cuba menutup selat berkenaan.-AFP